Anne Ngasri (kiri) dan Darling.

KUALA LUMPUR – Pelakon, Anne Ngasri mengaku meminta tunjuk ajar dan bantuan daripada kakaknya, Darling Ngasri dalam menerbitkan filem sulungnya, Jemputan Ke Neraka.

Filem bergenre seram yang diterbitkan di bawah produksi milik Anne iaitu AN Universal Sdn. Bhd. turut mempunyai banyak campur tangan Darling apabila dia turut menggalas tugas sebagai penerbit penyelaras.

“Memang saya mengaku sebagai penerbit baharu saya mendapat banyak bimbingan dan tunjuk ajar daripada Darling sebab dia lebih berpengalaman dalam bidang penerbitan.

“Jika tanpa Darling rasanya sukar juga untuk saya menerbitkan filem kerana jadual kerja yang agak padat. Darling sememangnya seorang mentor saya dalam bidang penerbitan sebab itu dia menjadi penerbit penyelaras.

“Bukanlah tidak yakin dengan orang lain, tetapi kerana ini filem sulung produksi saya, jadi kalau boleh saya mahu semuanya mengikut kehendak dan piawaian yang ditetapkan. Darling sudah berpengalaman dan juga kakak saya, jadi dia tahu apa yang saya inginkan,” ujar Anne.

Filem Jemputan Ke Neraka akan menemui penonton pada 22 Jun ini.

Sementara itu, Darling atau nama sebenarnya Nasreen Ngasri berkata, dia mencadangkan genre psiko thriller seram untuk filem pertama Anne kerana yakin genre sebegitu lebih mudah diterima penonton tempatan.

Kebetulan, pengarah, Amor Rizan yang sudah lama bekerjasama sebagai pengarah untuk drama-drama produksi Darling memiliki sebuah karya yang sudah lama disimpan.

“Saya suka penulisan dan kerja Amor Rizan serta yakin dengan kualiti kerjanya. Sebenarnya ini juga filem pertama Amor, jadi bukan kami sebagai penerbit sahaja yang berdebar tetapi Amor juga,” tutur Darling.

Mengulas tentang judul filem Jemputan Ke Neraka yang dilihat agak berani, tegas Darling judul filem tersebut sesuai dengan mesej yang ingin disampaikan kepada penonton.

“Alhamdulillah walaupun judul filemnya begitu daring tetapi pihak Lembaga Penapis Filem (LPF) telah mengklasifikasikan filem ini sebagai P13.

“Tidak ada babak yang dipotong sepanjang proses penapisan kerana kami memang berjaga-jaga agar filem ini sesuai dengan penonton Malaysia. Sayanglah jika filem ini tidak dapat ditonton secara meluas,” katanya yang turut muncul sebagai pelakon cameo dalam filem tersebut.

Naskhah psiko thriller seram itu mengisahkan tentang sekumpulan bekas rakan sekolah menerima jemputan ke perkahwinan misteri di sebuah sebuah banglo mewah.

Filem Jemputan Ke Neraka yang akan menemui penonton pada 22 Jun ini dibintangi Janna Nick, Sharifah Sakinah, Hafreez Adam, Hariz Hamdan, Amy Nurtinie, Nick Syaf, Jasper Supayah, Wafariena Roslan, Alif Hadi, Aleza Shadan dan Azhar Amir. – MalaysiaGazette