Rahimie (kiri) dan Michael Tio menandatangani dokumen Surat Niat antara kedua-dua pihak.

KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) merancang untuk menawarkan program Sarjana Muda di dalam bidang pengurusan logistik.

Dekan FPEP, Prof. Madya Dr. Mohd. Rahimie Abdul Karim berkata, UMS sangat positif dalam keperluan penawaran program baharu ini memandangkan terdapat permintaan yang sangat tinggi terhadap bidang tersebut.

Ini termasuk keperluan memberikan pendidikan lanjutan terutama kepada para pelajar lepasan Diploma dalam bidang Logistik dan Rantaian Bekalan.

“Selain itu, penawaran program baharu ini juga akan dapat membantu peningkatan penyelidikan dan pembangunan dalam kalangan akademi dan juga dengan kerjasama industri terutamanya di dalam menyelesaikan permasalahan di dalam sektor ini di Negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi perjumpaan antara akademi dan industri bersama PKT Logistics Group Sdn Bhd yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Michael Tio.

Rahimie menambah, penawaran program Sarjana Muda Pengurusan Logistik di UMS bakal menjadi peneraju kepada perkembangan industri pengurusan logistik tempatan dan mampu membantu dalam peningkatan kepada fasiliti industri yang boleh menyokong kepada pembangunan industri di negeri Sabah.

“Usaha ini juga diyakini akan meningkatkan penawaran tenaga kerja mahir bagi memenuhi keperluan pasaran kerja dalam industri berkaitan,” katanya.

Dalam pada itu, Rahimie memaklumkan PKT Logistics Group merupakan penyedia perkhidmatan logistik khusus terkemuka di Malaysia dan mempunyai jaringan di seluruh negara Asia Tenggara. – MalaysiaGazette