KUANTAN – Program Eco-Schools merupakan elemen paling penting dalam menjayakan pelan hala tuju Greening Education Partnership (GEP) UNESCO menjelang tahun 2030.
Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, ia merupakan platform terbaik bagi membentuk teladan serta peningkatan kesedaran isu-isu alam sekitar semasa melalui pembelajaran berasaskan projek.
“Konsep Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang telah saya titahkan selama ini juga diupayakan melalui pelaksanaan program Eco-Schools.
“Lebih menarik intervensi pendidikan untuk pembangunan mampan ini membawa peranan belia selaku ejen perubahan dalam membina masyarakat sifar bersih karbon, sekali gus merealisasikan pahang ke arah negeri net zero carbon 2050,” ujarnya.
Baginda bertitah demikian di Majlis Perasmian Eco-Schools Pahang 2023 yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Azizah, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, selaku Penaung Diraja Eco-School Malaysia, baginda turut mengumumkan Pelan Hala Tuju ‘Pahang Greening Education Partnership’ bagi tahun 2023 hingga 2030 yang mensasarkan empat agenda.
“Pertamanya, sasaran Menghijaukan Sekolah, agar sekurang-kurangnya 50% institusi pendidikan di Pahang diberi pengiktirafan sebagai sekolah atau institusi hijau setelah menamatkan program Eco-Schools dan Eco-Campus.
“Keduanya, sasaran Menghijaukan Pembelajaran iaitu 100% sekolah yang mengikuti program Eco-Schools akan menerapkan pengintegrasian pendidikan perubahan iklim di dalam Kurikulum Kebangsaan, dan 100% Institusi Pendidikan Tinggi yang menjalani program Eco-Campus akan menawarkan kursus-kursus Pengurusan Pembangunan Mampan,” titah baginda.
Dalam aspek Menghijaukan Kapasiti dan Ketersediaan pula, baginda menitahkan sasaran agar setiap orang Pengetua/Guru Besar, dan sekurang-kurangnya dua orang guru dari setiap sekolah di Pahang menghadiri Kursus Pendidikan Perubahan Iklim.
Manakala bagi agenda Menghijaukan Komuniti, titah baginda, agar 100% sekolah di kawasan Felda yang mengikuti program Eco-Schools menjadi pusat pendidikan untuk pembangunan masyarakat mampan.
Menurut baginda, program Eco-Schools merupakan program pendidikan untuk pembangunan mampan terbesar di dunia, di mana jaringannya merentas lebih 95 buah negara dengan penglibatan lebih 20 juta murid dan 1 juta guru.
“Dan Eco-Schools Pahang merupakan usaha yang bergerak seiring dengan usaha saya dalam menyelamatkan harimau malaya melalui pembentukan kesedaran para remaja tentang kepentingan alam sekitar sebagai habitat harimau malaya yang semakin diancam kepupusan,” tambahnya.
Dalam ucapannya, baginda turut menyeru agar agensi negeri dan agensi kerajaan menyokong sepenuhnya program Eco-Schools.
“Saya juga menyeru sektor swasta, syarikat berkaitan kerajaan atau GLC, organisasi antarabangsa, yayasan dan badan-badan lain untuk menyumbang tajaan dan berkongsi kepakaran.
“Marilah kita mempromosikan program Eco-Schools Pahang sebagai sebahagian daripada program jangkauan sekali gus menyumbang kepada tunjang ESG tanggungjawab sosial korporat masing-masing,” kata baginda.
Majlis pelancaran yang turut dihadiri Penaung Diraja Eco-Schools Pahang, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merupakan hasil kerjasama Green Growth Asia Foundation selaku penganjur yang mendapat sokongan penuh kerajaan negeri, Jabatan Pendidikan Negeri dan Yayasan Pahang.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Exco Pertanian, Industrian Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak. – MalaysiaGazette