anwar the untold story
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perjanjian persempadanan maritim yang dimeterai dengan Indonesia baru-baru ini tidak melibatkan kawasan yang dipertikai oleh kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebelum menandatangi perjanjian terbabit beliau berbincang dengan pakar daripada Maritim Malaysia, Kementerian Luar, Majlis Keselamatan Negara, Peguam Negara serta Jabatan Ukur dan Pemetaan serta Pusat Hidrografi Nasional.

Anwar berkata, perjanjian yang ditandatangani bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo telah menyelesaikan isu persempadanan yang berlanjutan selama 18 tahun.

“Selepas mereka teliti dan perjumpaan akhir dengan saya dan berpuas-hati barulah kita tandatangan.

“Ini (isu sempadan) berlanjutan tatkala perbincangan saya dengan Jokowi bulan Januari, kita sebagai negara sahabat harus selesaikan perkara berlanjutan selama 18 tahun.

“Pada 8 Jun kita melakukan persetujuan berdasarkan kepentingan kita, titik sempadan yang tidak kita pertikai mengikut undang-undang antarabangsa terutama Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982,” kata Anwar.

Beliau berkata demikian pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Anwar menjelaskan isu itu bagi menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bahru) mengenai jaminan kerajaan bahawa perjanjian berkenaan tidak akan menjejaskan hak kedaulatan dan merugikan negara khususnya kesan negatif terhadap aktiviti ekonomi maritim dalam jangka masa panjang.

Mengulas lanjut Anwar menegaskan, perjanjian yang ditandatangi tidak melibatkan kawasan Sebatik di Sabah dan Tanjong Pelepas di Johor serta beberapa kawasan lain.

“Perjanjian tak termasuk kawasan yang masih dirunding Sebatik di Laut China Selatan kerana dalam memuktamadkan (perkara itu) kita akan undang wakil Sabah.

“Perjanjian ini tidak termasuk kawasan Tanjong Pelepas yang juga dibicarakan. Kemudian penyelesaian segmen 8B dan 8C.

“Rundingan untuk melengkapkan garis sempadan di Laut Sulawesi masih diteruskan iaitu titik M, B1, B, C dan P. Itu masih belum dapat dimuktamadkan. Saya beritahu Jokowi itu Malaysia masih pertahankan,” kata Anwar.

Media sebelum ini melaporkan, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta Anwar memberi penjelasan berhubung perjanjian sempadan maritim dengan Indonesia yang ditandatanganinya baru-baru ini.

Muhyiddin mendakwa Perdana Menteri menandatangani perjanjian itu ketika lawatan kerja Joko Widodo ke Malaysia baru-baru ini.

Pengerusi Perikatan Nasional itu mendakwa, walaupun pakar maritim menasihatkan supaya tidak menandatangani perjanjian berkenaan, namun Perdana Menteri didakwa tidak mengendahkan pandangan terbabit. – MalaysiaGazette