Gambar hiasan.

AMPANG – Polis menyelamatkan empat lelaki warga Pakistan yang telah dikurung, dipukul dan dijadikan buruh paksa di negara ini di sebuah rumah di Taman Pandan Perdana, dekat sini.

Kes ini didalangi oleh rakan senegara mangsa.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima satu laporan daripada seorang lelaki warga Pakistan mendakwa dipukul empat orang lelaki warga yang sama di lokasi kejadian sekitar pukul 8 malam.

Menurutnya, lelaki berusia 23 tahun itu dipukul gara-gara meminta semula pasport yang disimpan oleh ejen membawa dia ke Malaysia untuk mencari kerja.

“Mangsa mengalami cedera di badan, lengan dan tangan kiri akibat dipukul,” katanya dalam kenyataan di sini.

Susulan laporan itu, kira-kira jam 5.30 petang pada 12 Jun lalu, sepasukan polis menyerbu sebuah apartmen di Taman Pandan Perdana dan menyelamatkan empat lagi lelaki warga Pakistan yang dikurung.

Polis turut menangkap seramai tujuh warga pakistan berusia antara 21 hingga 44 tahun yang disyaki terlibat dalam kes disiasat dan merampas 22 pasport Pakistan milik mangsa pemerdagangan manusia, lima beg pakaian, tiga buah telefon bimbit, serta batang penyapu yang digunakan untuk memukul mangsa-mangsa.

Katanya, semua suspek kini telah direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 19 Jun ini bagi membantu siasatan lanjut polis.

“Siasatan yang dijalankan mendapati mangsa dipukul kerana suspek berang mangsa meminta pasport dikembalikan supaya dapat pulang ke negara asal,” ujarnya.

Kes berkenaan sedang disiasat bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Manusia dan Migran (ATIPSOM) 2007 yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda. – MalaysiaGazette