LONDON – Paris Saint-Germain (PSG) terkejut dengan tindakan Kylian Mbappe kerana enggan mengaktifkan lanjutan kontrak setahun dalam perjanjiannya ketika ini.
Pemenang Piala Dunia bersama Perancis itu dikatakan tidak berminat menunggu sehingga 31 Julai depan sebelum memutuskan keputusannya kerana didakwa sudah hilang mood untuk terus beraksi dengan PSG.
Malah Mbappe, 24, menghantar surat kepada kelab itu untuk memaklumkan keputusan tersebut yang bermakna kontraknya di Parc des Princes akan berakhir pada Jun 2024.
Keputusan Mbappe bakal meletakkan Real Madrid menyasarkannya sebagai penyerang utama menggantikan tempat Karim Benzema yang berhijrah menyertai Al-Ittihad.
Menurut laporan New York Times, PSG mungkin melepaskan Mbappe dengan harga yang lebih tinggi daripada £160 juta (RM926.36 juta) selepas membayar AS Monaco sebanyak £155 juta (RM897.41 juta) ketika membelinya pada 2018.
PSG sebelum turut kehilangan khidmat Lionel Messi ke Inter Miami.
Selain itu, seorang lagi bintang PSG, Neymar juga telah mencetus spekulasi untuk mengikut jejak Messi dan Mbappe berhijrah menyertai pasukan baharu sejak berkelana ke kota Paris daripada Barcelona pada 3 Ogos 2017. – MalaysiaGazette