Zaid Najib RM42 juta
Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Pentadbir laman Facebook Najib Razak mendakwa, beberapa media tempatan menyiarkan laporan kurang tepat berhubung kenyataan peguam terkemuka, Datuk Zaid Ibrahim mengenai kes SRC International Sdn Bhd.

Menurut beliau, Zaid tidak menyatakan bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ‘mencuri’ dalam ciapan Twitter miliknya hari ini.

“Dia kata kes SRC Najib melibatkan RM42 juta dan ia adalah jumlah kecil berbanding jumlah berbilion-bilion yang Kerajaan Perpaduan hari ini tuduh Perdana Menteri keempat dan menteri kanan dia.

“RM42 juta ini bukan dicuri oleh Najib untuk peribadi tetapi telah disedekahkan sepenuhnya selepas empat tahun setengah di mana Najib dikatakan telah menyalahgunakan kuasa,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Terdahulu, Zaid dalam ciapan Twitter tersebut merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar mengubah fikirannya berhubung pembebasan Najib.

Beliau berkata, Anwar perlu berbuat demikian sekiranya mahu melihat Kerajaan Malaysia Madani pimpinannya menang dalam enam pilihan raya negeri (PRN).

Zaid menambah, UMNO kini dalam keadaan lemah dan hanya Najib yang mampu membantu kemenangan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Pentadbir laman Facebook Najib memberitahu, mahkamah juga mendapati bahawa tiada bukti bahawa Najib pernah mengarahkan atau meminta dana RM42 juta tersebut.

“RM42 juta ini juga tidak pernah disorok. Malah ia terbukti dalam mahkamah bahawa Najib pernah minta Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) dan banknya untuk sentiasa pantau akaun dia,” jelasnya.

Beliau menambah, jumlah RM42 juta itu juga adalah kecil berbanding dana sekurang-kurangnya RM642 juta yang Najib terima dari Arab Saudi termasuk dari akaun bank Kementerian Kewangan Arab Saudi yang Najib juga telah sedekahkan semua termasuk memberi kepada semua masjid dalam negara serta bantuan banjir untuk empat tahun berturut-turut.

“Jadi, ‘pencuri’ mana yang sudah beri RM642 juta hak dia untuk kononnya tunggu empat tahun setengah untuk curi RM42 juta yang dia tak pernah minta atau arahkan, tak guna untuk peribadi tetapi disedekahkan semua, tak pernah sorok malah suruh BNM dan bank untuk pantau akaun dia?” soalnya.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak juga berharap Zaid akan memberi penjelasan supaya media tidak lagi memutarbelitkan kenyataannya. – MalaysiaGazette