Datuk Seri Mohamad Sabu.-AFFAN FAUZI, 14 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamad Sabu menyarankan rakyat Kedah untuk kalih (tukar) pentadbiran negeri itu dalam tempoh dua bulan lagi sebagai usaha untuk mempertingkatkan pengeluaran padi.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan ituberkata, usaha bagi mempertingkatkan pengeluaran padi lebih mudah jika Kerajaan Kedah ditadbir oleh parti yang sama seperti Kerajaan Persekutuan.

Tambah beliau, rakyat Kedah dan pemimpin Kerajaan Persekutuan mempunyai hasrat yang sama berkaitan pengeluaran padi di negeri itu.

“Hasrat Kedah dan hasrat Kerajaan Persekutuan (meningkatkan hasil padi) itu sama, jadi biarlah kita kalih bagi sama.

“Kalih bagi sama ini kena fahamlah… lagi dua bulan (PRN), kita kalih bagi sama, maka ia mudah lagi,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat  hari ini.

Mohamad menjawab soalan daripada Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) yang bertanya sama ada Kerajaan Persekutuan akan menyokong Kerajaan Kedah meningkatkan pengeluaran padi di negeri itu dengan menaikkan subsidi baja, racun, benih serta meningkatkan harga padi.

Jelas Abd Ghani, sokongan Kerajaan Persekutuan perlu memandangkan Kedah adalah pengeluar utama padi di negara ini dengan 43 peratus daripada keseluruhan hasil negara.

Sementara itu, Mohamad menjelaskan, Kerajaan Persekutuan sememangnya berhasrat untuk melaksanakan inisiatif Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Kerajaan juga sedia mempertimbang soal subsidi dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Mohamad memaklumkan, keperluan beras dalam negara dipenuhi 70% pengeluaran tempatan manakala baki 30% lagi ditampung melalui kemasukan beras import.

Menurut beliau, sumber import beras adalah dari pelbagai negara iaitu dari India, Myanmar, Kemboja, Pakistan dan Thailand.

Justeru, tindakan sekatan eksport oleh Vietnam tidak akan menjejaskan sumber bekalan beras dalam negara.-MalaysiaGazette