Hilman Idham

KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor perlu memberi penjelasan terperinci mengapa Projek Rintis Demand-Responsive Transit (DRT) diberikan secara runding terus kepada syarikat Asia Mobility Technologies Sdn Bhd dan Badan Bas Coach Sdn Bhd.

Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham mempersoalkan mengapa kerajaan negeri tidak melaksanakan tender terbuka dalam isu pelantikan kedua-dua syarikat tersebut.

“Perihal ini mesti dijelaskan secara terperinci kepada umum memandangkan ia berkait penggunaan dana kerajaan negeri.

“Demi menjamin prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban, kerajaan negeri juga perlu bersedia untuk mendedahkan butiran kontrak bagi pelaksanaan projek DRT bersama kedua-dua syarikat yang dilantik.

“Ini kerana pelantikan kedua-dua syarikat ini secara eksklusif kini menimbulkan pelbagai persoalan termasuklah berapa jumlah pelaburan Kerajaan Negeri, apakah model perniagaan serta berapa jumlah pulangan kepada kerajaan negeri?” soalnya dalam kenyataan.

Sementara itu, Hilman berkata, konsep perkhidmatan DRT bukan sesuatu yang asing memandangkan terdapat pelbagai syarikat e-hailing yang sedang beroperasi dengan efisyen dan aplikasi yang canggih.

Justeru syarikat e-hailing seperti Grab, AirAsia Ride, Maxim dan syarikat pengangkutan awam sedia ada seperti Prasarana mampu mendapatkan lesen Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi pelaksanaan perkhidmatan DRT.

“Justeru, kejayaan dan pengalaman melaksanakan ‘bukti konsep’ sahaja tidak mencukupi untuk mengabsahkan pelantikan Kerajaan Negeri kepada syarikat yang dilantik.

“Mendukung prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban, saya menggesa Kerajaan Negeri menilai semula model pelaksanaan perkhidmatan DRT dan membatalkan kontrak sedia ada demi menjamin kepentingan rakyat Negeri Selangor.

“Isu-isu terdahulu seperti kontroversi aplikasi SELANGKAH dan Skim Insuran INSAN yang menggugat kepentingan rakyat seharusnya menjadi pedoman demi mempertahankan integriti dan wibawa Kerajaan Negeri,” kata beliau.

Sebelum ini Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han dilaporkan berkata, pelantikan kedua-dua syarikat mengikut prosedur ditetapkan kerajaan Selangor.

Sze Han berkata, Jawatankuasa Pelaksanaan Projek Rintis DRT mengambil pendekatan bersetuju melantik syarikat terbabit selepas mengambil kira kelulusan Proof of Concept (POC) oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Menurutnya, APAD meluluskan penyertaan proses pengujian POC perkhidmatan Bus On Demand bagi Asia Mobility (TrekRides) pada 22 Disember 2022 dan Badan Bas Coach Sdn Bhd (Mobi) (Badan Bas) pada 24 Februari 2023.

Jelasnya, kedua-dua syarikat telah dijemput untuk membuat pembentangan kepada Jawatankuasa Pelaksanaan Projek Rintis DRT untuk pertimbangan bagi pelantikan sebagai syarikat pengendali perkhidmatan.

“Jawatankuasa Pelaksanaan mengambil pendekatan bersetuju melantik kedua-kedua syarikat ini kerana pentadbiran ingin menepati piawaian ditetapkan pihak berwajib demi memastikan keselamatan pengguna perkhidmatan DRT adalah terjamin.

“Letter of Intent telah dikemukakan kepada syarikat pengendali perkhidmatan pada 15 Jun 2023 manakala surat pelantikan dikeluarkan pada 20 September 2023,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat lepas.- MalaysiaGazette