Gambar hiasan. foto ISKANDAR HAMIDI, 20 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Pengurusan Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) perlu mempunyai prosedur operasi standard (SOP) atau perancangan dalam menghadapi krisis bekalan air.

Gabungan Mahasiswa Malaysia berkata, gangguan bekalan air bersih yang kerap berlaku di Sabah, Kedah dan Kelantan memberi impak kepada mahasiswa di negeri terbabit.

“Pertama sekali, kami menuntut agar pihak universiti mewajibkan sistem pembelajaran atas talian (ODL) buat mahasiswa sekiranya berlaku krisis bekalan air di kawasan kolej kediaman mereka.

“Saban hari kita kerap mendengar mahasiswa terpaksa menulis surat untuk merayu kepada pihak universiti agar memberi kelonggaran ODL kepada mereka apabila krisis ini menimpa mereka.

“Oleh sebab itu, dengan SOP yang mewajibkan sistem ODL, maka pelajar boleh segera pulang ke rumah dan mendapat suasana pembelajaran yang lebih kondusif,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan secara bersama oleh Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM); Mahasiswa Roket; Mahasiswa Amanah Nasional; Demokrat UKM; Suara Siswa UM; Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM); Congress IIUM.

Dalam pada itu, gabungan berkenaan juga menuntut pengurusan IPTS dan IPTA khususnya di negeri yang kerap mengalami gangguan bekalan air untuk menambah peruntukan menaiktaraf infrastruktur tangki air di kolej kediaman.

Gabungan tersebut  antara lain menuntut IPTA terlibat menggerakkan tangki atau trak mobiliti air ke kolej kediaman yang terjejas semasa gangguan beklaan air. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast