LONDON – Penyerang pinjaman Inter Milan, Romelu Lukaku dilaporkan mendapat tawaran kontrak selama dua tahun bernilai £43 juta (RM249.46 juta) daripada kelab Al-Hilal dalam Liga Profesional Arab Saudi.
Sekiranya tawaran tersebut diterima, Lukaku bakal menjadi pemain berprofil tinggi terbaharu selepas Cristiano Ronaldo menyertai Al-Nassr manakala Karim Benzema bersama Al-Ittihad.
Pemain antarabangsa Belgium itu yang pernah bersama Chelsea dan membantu pasukan itu muncul Naib Juara Liga Juara-Juara akan kembali pulang ke Stamford Bridge selepas tempoh pinjamannya berakhir.
Lukaku dilaporkan telah bertemu dengan wakil Al-Hilal dan membincangkan potensi perpindahan tersebut pada Isnin lalu, namun bersedia untuk kekal di Eropah sekiranya menerima tawaran lebih baik.
Chelsea yang bakal dikemudi Mauricio Pochettino musim depan hampir pasti tidak menyenaraikan Lukaku dalam projek musim depan menyebabkan mereka bersedia untuk menjualnya pada harga £43 juta (RM249.46 juta).
Bagaimanapun, Al-Hilal agak keberatan untuk membayar nilai perpindahan berkenaan dan akan mengadakan rundingan bersama pemilik Chelsea, Todd Boehly untuk mendapatkan harga yang lebih rendah. – Agensi