KUANTAN – Seramai 1,023 orang penduduk Bera menerima Kad Kesihatan Pride Kasih bagi membolehkan penerima mendapatkan rawatan pesakit luar dan pemeriksaan kesihatan.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Sabariah Saidan berkata, pemegang kad itu terdiri daripada 366 orang bagi Skim Bantuan OKU Tidak Bekerja, Skim Bantuan Warga Emas (382) dan penerima bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Guai (275).
Antara rawatan ditawarkan melalui Kad Kesihatan Pahang Pride Kasih ialah seperti perlindungan rawatan pesakit luar bagi penyakit demam, batuk, selesema dan sakit badan, selain pemeriksaan kesihatan asas seperti ujian darah, vaksinasi pnuemococcal, meningococcal, influenza, serta hepatitis B termasuklah ujian sinar dan ujian calitan bagi Influenza dan Covid-19.
Artikel berkaitan: Pahang belanja 10 juta bagi Kad Kesihatan Warga Emas
400 pokok simbolik Pahang Pride Kid
Insentif Pahang Pride Kid naik RM300 – MB
Tambah Sabariah sebanyak 70 buah klinik panel telah dilantik dari seluruh negeri ini dan sebanyak lima buah klinik panel berdaftar di Bera telah menyertai program ini iaitu Poliklinik Sentral, Rakyat di Kemayan, Klinik Rakyat di Kerayong, Klinik Sulaiman Triang dan Klinik An-Nur Triang.
“Kad ini bernilai bantuan RM500 dan boleh digunakan sepanjang tahun ini,” katanya.
Bantuan Kad Kesihatan Warga Emas Negeri Pahang telah dimulakan pada tahun 2020 dan melalui Belanjawan Negeri 2022, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan berjumlah RM10 juta bagi melaksanakan program ini.
Program ini dijenamakan semula sebagai ‘Pahang Pride’. Kad Kesihatan Pahang Pride Kasih merupakan perkhidmatan alternatif kepada fasiliti kesihatan klinik-klinik kKerajaan dalam usaha menggalakkan warga emas membuat pemeriksaan kesihatan serta mendapatkan rawatan di klinik-klinik swasta terpilih dengan lebih selesa dan menjimatkan masa. – MalaysiaGazette