Kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menyusun 400 pokok sempena pelancaran Pahang Pride Kid 2022

KUANTAN – Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) akan menanam 400 pokok bagi setiap kelahiran bayi di negeri ini sempena simbolik pelancaran ‘Pahang Pride Kid 2022’ yang dijadualkan esok.

Penolong Pengarah Silvikultur (Zon Pahang Timur I) JPNP, Nurfazliza Kamarulbahrin berkata, pokok yang dipilih merupakan spesies merawan siput jantan dan pokok spesies Tembusu Padang akan ditanam di Taman Bandar, Indera Mahkota 7.

“JPNP terlibat secara langsung dalam program Pahang Pride Kid 2022 dengan menyediakan pokok spesies tertentu untuk ditanam akan dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang.

“Jadi, tetamu program berkenaan diberi peluang untuk menanam pokok berkenaan di kawasan yang telah disediakan oleh pihak kami,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Nurfazliza, penanaman tersebut dilaksanakan sempena Program Penghijauan Malaysia dan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok seluruh negara.

ARTIKEL BERKAITAN :

JPNP tanam satu pokok untuk setiap anak dilahirkan di Pahang

RM14.291 juta Bantuan Prihatin Pahang disalurkan dalam bidang pendidikan

Pahang belanja 10 juta bagi Kad Kesihatan Warga Emas

Terdahulu usul penanaman pokok oleh JPNP yang ditandakan nama bayi itu dibentangkan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin pada 30 Mac lalu.

Pokok tersebut, katanya, akan ditanam di lokasi yang sesuai di setiap daerah ini mengikut landskap kawasan masing-masing semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang tempoh hari.

Menerusi program berkenaan, pokok yang ditanam bukan sahaja memberi peluang untuk memperingati kelahiran anak tetapi ia juga boleh menarik pelancong. – MalaysiaGazette