Sebanyak RM14.291 juta dibelanjakan dalam bidang pendidikan menerusi Bantuan Prihatin Pahang 2022.

KUANTAN – Sebanyak RM14.291 juta dibelanjakan dalam bidang pendidikan menerusi Bantuan Prihatin Pahang 2022.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan tersebut memberi manfaat kepada 121,869 pelajar sekolah, mahasiswa, pelajar termasuk pelajar tahfiz.

“Seramai 25,146 orang murid Tahun 1 menerima RM 100 seorang dengan peruntukan keseluruhan RM2.514 juta dan seramai 25,051 pelajar Tahun 1 dari sekolah rendah kebangsaan seluruh Pahang dan 95 pelajar Sekolah Rendah Tahfiz Negeri Pahang juga menerima bantuan RM100,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Manurut Wan Rosdy, peruntukan sebanyak RM240,000 diberikan kepada 2,400 pelajar tahfiz yang bukan darjah satu telah juga menerima manfaat tersebut.

Selain itu, bantuan RM100 tunai untuk tambah nilai kredit bagi talian telekomunikasi diberikan kepada 25,871 orang pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM dan STPM melibatkan perbelanjaan RM2.857 juta.

“Bantuan RM200 tunai kepada 42,701 orang anak-anak Pahang yang berjaya memasuki institusi pengajian tinggi sama ada dalam dan juga luar negara juga diberikan bernilai RM8.54 juta,” katanya lagi.

Turut menerima bantuan ialah 700 pelajar di pusat penjagaan anak yatim yang menerima RM200 tunai berjumlah RM140,000.

Wan Rosdy berkata, Bantuan Prihatin Pahang 2022 kali ini bernilai hampir RM30 juta dan melibatkan kira-kira 300,000 penerima.

Ia memfokuskan empat kluster utama penerima mensasarkan kepada pelajar dan anak muda, kluster golongan B40, kluster umum dan kluster apresiasi. – MalaysiaGazette