Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin

KUANTAN – Bagi setiap kelahiran anak, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) akan menanam pokok dengan ditandakan nama bayi itu.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, Pantai Serandu di Pekan dipilih sebagai antara lokasi program penanaman pokok itu yang akan bermula selepas Hari Raya Aidilfitri.

“Setiap anak pokok akan ditanda nama dan akan ditanam di lokasi yang sesuai di setiap daerah ini dan JPNP akan mengenal pasti pokok yang sesuai untuk ditanam mengikut landskap kawasan masing-masing,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, di sini, hari ini.

Jelas Shahniza, pokok yang ditanam bukan sahaja memberi peluang untuk memperingati kelahiran anak tetapi ia juga boleh menarik pelancong.

“Mungkin, apabila anak itu boleh kembali melawat tapak dan mengambil gambar pada hari lahir mereka,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Lumpur (Pas), Rosli Abdul Jabar mencadangkan kerajaan negeri memberi insentif kepada wanita yang melahirkan ramai anak.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menjelaskan berkata, inisiatif Pride Kid akan menyaksikan anak kelahiran Pahang tahun ini menerima bantuan sebanyak RM200, termasuk simpanan bank RM100, dan produk bayi bernilai RM100 akan diteruskan.

Kata Wan Rosdy, inisiatif berkenaan membuktikan Kerajaan Pahang menggalakkan pertumbuhan penduduk di negeri itu. – MalaysiaGazette