KUALA LUMPUR – Anggota kumpulan K-Clique, MK hari ini sah bergelar suami kepada gadis pilihan hatinya, Siti Hajaar Syeikh Nordin, 26, selepas diijab kabul dalam satu majlis pernikahan di Masjid Jami’il Huda, Kampung Melayu Ampang pagi ini.
MK atau nama sebenar, Muhammad Hairi Amin Hamdan, 27, menjadi suami dengan sekali lafaz sahaja selepas dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah Kariah Masjid Jami’il Huda, Mahdi Mat Zain berwalikan bapa pengantin perempuan, Datuk Seri Dr Syeikh Nordin Sheikh Ahmad.
Pada majlis itu, MK memberikan mas kahwin sebanyak RM302 dan seutas gelang tangan manakala wang hantaran dirahsiakan.
Penyanyi yang berasal dari Tawau, Sabah itu turut menyerahkan enam dulang hantaran berbalas enam dulang daripada pengantin perempuan.
Majlis pernikahan MK dan Siti Hajaar dihadiri 100 tetamu merangkumi keluarga dan kenalan kedua-dua belah pihak.
Spekulasi MK bakal mendirikan rumah tangga mula diperkatakan selepas beliau memuat naik foto saiz pasport lengkap memakai songkok dalam laman sosialnya.
Mengukuhkan lagi spekulasi itu, ada yang mendakwa MK sudah bertunang dengan Siti Hajaar selepas foto mereka berpakaian sedondon bersama keluarga dengan gadis itu menunjukkan cincin di jari, tersebar.
Terbaharu, tular video di aplikasi TikTok yang menampakkan penyanyi rap itu menghadiri kursus kahwin. – MalaysiaGazette