Saifuddin Nasution Ismail

SUNGAI PETANI – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerahkan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendedahkan identiti ahli politik yang dikatakan menaungi kegiatan judi dalam talian.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya percaya kedua-dua agensi itu akan membuat penilaian untuk melakukan perkara itu sekiranya ada keperluan.

“Jadi biar badan penyiasat, polis dan SPRM yang membuat keputusan (sama ada untuk mendedahkan), itu mereka yang akan tentukan mengikut pertimbangan mereka… saya tidak mahu masuk campur bab itu.

“Kedua-dua agensi mempunyai data yang komprehensif berhubung siapa (individu) di sebalik pemain dan juga ‘mastermind’…jadi mengenai apakah mereka akan mendedahkan perkara itu, saya tinggalkan kepada penilaian profesional mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program KDN Madani, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata pihaknya percaya nilai aktiviti perjudian dalam talian boleh mencecah sehingga berbilion ringgit setiap bulan.

“Satu minggu mencecah RM200 juta hingga ke RM250 juta… itu baru satu jenis belum yang lain. Dalam Parlimen baru-baru ini saya paparkan kira-kira 100 laman web berkaitan judi dalam talian.

“Bila kita tengok dari segi saiz, volumenya sangat besar dan keuntungan mereka adalah dalam mata wang kripto dan sebagainya… dari segi teknologi mereka sangat ke depan, sebab itu pasukan penguat kuasa perlu tangkas, dua atau tiga langkah ke depan, kerana aktiviti ini walau apa juga alasannya perkara ini adalah sesuatu yang memudaratkan,” katanya.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan kegiatan perjudian membiayai aktiviti politik, berikutan data dan maklumat pihak berkuasa yang menunjukkan kegiatan itu dinaungi ahli politik.

“Pemain dalam industri ini kalau dia dilindungi oleh naungan politik sudah tentu dia kena ‘reciprocate‘ balik jadi tidak mustahil dia membiayai kegiatan politik… jadi dalam perkara ini, saya serahkan kepada polis dan SPRM,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast