Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin (kiri) berkenan bertitah pada Istiadat Pengurniaan Gelaran dan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu Darul Iman sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-61 Hari Keputeraan Sultan Terengganu di Istana Syarqiyyah.

KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah mengingatkan parti politik yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi supaya berkempen secara sihat dan menunjukkan akhlak serta teladan baik kepada rakyat.

Baginda bertitah, politik kebencian seperti maki hamun dan caci maki perlu dielak agar tidak menjejaskan perpaduan ummah yang bermazhabkan Imam Syafie serta berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Beta berharap agar tidak berlaku di Terengganu pada pilihan raya kali ini budaya yang melampaui batas seperti memaki hamun dan sebagainya.

“Perbezaan politik tidak sepatutnya sesekali menggugat asas ini dan kita seharusnya belajar serta mengambil iktibar daripada kejatuhan empayar Islam Uthmaniyah di Turkiye dan Andalusia di Sepanyol,” titah baginda.

Sultan Mizan bertitah demikian pada Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Sempena Hari Keputeraan Sultan Terengganu Yang Ke-61 di Istana Syarqiyyah di sini hari ini.

Baginda turut bertitah, selepas PRN, rakyat diharap dapat kembali sepenuhnya kepada kehidupan yang harmoni dan saling menghormati manakala kerajaan negeri boleh memperkasa sektor pelancongan bagi meningkatkan penjanaan ekonomi Terengganu serta penduduknya.

Titah baginda, di samping pelancongan pulau yang dianggap sinonim dengan Terengganu, produk baharu di tanah besar juga perlu diselaras dengan lebih berkesan bagi memastikan sektor itu terus berkembang.

Menurut baginda, Terengganu yang memiliki jajaran pantai terpanjang di Malaysia turut berpotensi mewujudkan taman kenderaan rekreasi (RV) yang mampu menarik pelancong seperti di Kampung Mangkuk, Setiu dan Pulau Kekabu di Marang.

“Pelancongan berasaskan komuniti (CBT) juga perlu dipertingkat oleh kerajaan negeri dalam meningkatkan pendapatan komuniti setempat. Program seumpama ini dapat diperkasa dengan penambahan bilangan kawasan CBT berdasarkan keunikan kawasan dan produk yang dihasilkan.

“Melalui program CBT juga, pemuliharaan alam semula jadi yang mampan, kesenian, kebudayaan dan warisan Terengganu dapat diteruskan,” titah baginda.

Sultan Mizan turut menitahkan supaya semua pihak termasuk agensi kerajaan, pemilik hotel dan tetamu pulau menjaga serta mengawasi keadaan sekitar supaya keindahan, keunikan dan khazanah laut tidak tercemar.

Titah baginda, kerajaan negeri perlu mengambil serius perkara itu dengan memperketat langkah penguatkuasaan peraturan dan prosedur operasi standard di kawasan pelancongan bagi mendisiplinkan pemain industri. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Apa pandangan raja2 Melayu apabila wakil rakyat PH mahukan sup babi dijadikan makanan heritage Tanah Melayu, Sabah & Sarawak i.e Malaysia?

    Saje je nak dengar pandangan…

Comments are closed.