KUALA LUMPUR – Projek Loji Rawatan Air (LRA) Tok Bali di Kelantan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam bukan sesuatu yang baharu.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia sekadar perubahan nama daripada LRA Semerak yang dinamakan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dahulu.
Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, projek LRA Tok Bali hanya meneruskan apa yang telah dilaksanakan sewaktu beliau menjadi Menteri Alam Sekitar dan Air.
“Penamaan LRA Semerak ketika itu dibuat kerana ia dibina di tepi Sungai Semerak dan di atas tanah milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Semerak.
“Insya-Allah saya yakin projek LRA akan siap sebagaimana jadual dan akan memberikan kebaikan untuk rakyat,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Dalam Program Temu Anwar Kelantan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) semalam, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM500 juta disalurkan bagi pelaksanaan projek LRA Tok Bali dan penggantian paip air di Bachok.
Beliau yang juga Menteri Kewangan mahu projek tersebut dilaksanakan segera bagi menyelesaikan masalah bekalan air bersih di Kelantan.
Tuan Ibrahim turut menyambut baik pengumuman Anwar itu dan berpandangan, ia memang wajar diteruskan demi kesejahteraan serta kebaikan rakyat. – MalaysiaGazette