Kereta yang dinaiki mangsa bersama isteri serta dua anaknya terbakar selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Kulim-Baling hari ini.

KULIM – Suami rentung manakala isteri dan dua lagi anak parah selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh sebuah kereta dari laluan bertentangan di Jalan Kulim-Baling berhampiran Batu Puteh di sini, hari ini.

Kejadian jam 2 petang itu mengakibatkan pemandu kereta jenis Proton Iswara maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 2.20 petang memaklumkan dua kenderaan terlibat dalam kemalangan di lokasi terbabit.

Tiga mangsa parah dihantar ke Hospital Kulim untuk rawatan lanjut.

“Hasil siasatan mendapati kereta yang dinaiki empat beranak menghala ke Baling itu terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum dilanggar kereta jenis Toyota Camry yang melalui jalan terbabit.

“Akibat kemalangan itu kereta mangsa dikatakan terbakar menyebabkan mangsa turut rentung dalam kejadian tersebut.

“Manakala isteri mangsa berusia 28 tahun serta dua anak mereka masing-masing berusia tiga dan empat tahun parah akibat kejadian tersebut.

“Ketiga-tiga mangsa itu kini sedang menerima rawatan di Zon Merah Hospital Kulim,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Mohd Redzuan, pemandu Camry berusia 46 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan namun lesen memandunya telah tamat tempoh.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” kata beliau.