KUALA LUMPUR – Tanggapan yang mendakwa mana-mana organisasi dan kelompok seperti Pas merupakan satu-satunya ‘jemaah Islam’ dikatakan sebagai menyeleweng.
Penasihat Agama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, di Malaysia ketika ini terdapat pelbagai organisasi dakwah seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), jemaah tabligh, Jamaah Islah Malaysia (JIM), Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan parti-parti politik yang meletakkan cita-cita Islam dan dakwah dalam perlembagaannya seperti UMNO dan Pas.
Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO itu menambah, semua organisasi tersebut masing-masing membentuk ‘satu umat’ yang menyeru kepada Islam.
“Hakikatnya Pas dan mana-mana organisasi dakwah adalah satu kelompok dan satu jemaah kecil dakwah dalam sekelian banyak kelompok-kelompok dakwah yang bersatu dan bersetia serta berwalak kepada himpunan dan kesatuan jamaah muslimin (umat Islam) yang besar dipimpin oleh Yang di-Pertuan Agong selaku khalifah dan ketua negara yang bersumpah menjunjung dan menjaga Islam dalam negara Malaysia tercinta.
“Teruskan kerja dakwah namun betulkan kesilapan dan penyelewengan tafsiran agama yang mengelirukan umat Islam malah membawa kepada perpecahan umat Islam,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Selain itu, Mohd Khairuddin memberitahu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, majlis agama Islam negeri, jabatan agama Islam negeri, yayasan-yayasan Islam negeri menjadi organisasi yang menegak, mempertahan dan menyebarkan Islam secara rasmi atas nama agensi negara.
Beliau berkata, terdapat juga pertubuhan bukan kerajaan Islam seperti Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia, Persekutuan Seruan Islam Selangor dan Wilayah dan Persatuan Ulama Malaysia.
“Justeru, Nabi Muhammad SAW memberi panduan kepada umat di saat berlakunya kecelaruan dalam kalangan umat Islam mereka perlu melazimi diri mereka dengan jemaah besar umat Islam yang dipimpin oleh seorang pemimpin tertinggi dalam negara kerana jamaah muslimin ini sentiasa didukung oleh pelbagai kelompok dakwah yang ramai dan besar,” jelasnya.
Mohd Khairuddin menambah, jemaah muslimin itu dijamin oleh Allah tidak mungkin berhimpun dan berpakat atas kesesatan kerana ia memiliki ketua yang diberikan hak syarie untuk ditaati.
“Dalam konteks Malaysia pemimpin itu ialah Yang di-Pertuan Agong yang mesti diberikan ketaatan dan wala,” katanya. – MalaysiaGazette