Erik Ten Hag. Foto BBC.

LONDON – Erik Ten Hag dilaporkan berang kerana rundingan pengambilalihan Manchester United yang masih tidak bernoktah telah merencatkan rancangan pembelian pemain baharu.

Pengurus dari Belanda itu telah lama menaruh minat untuk mendapatkan khidmat Declan Rice kerana bintang West Ham itu disebut bakal menjadi nadi baharu untuk rombakan bahagian tengah United yang menjadi sasarannya sejak mengambil alih pengurusan kelab itu pada musim panas lalu.

Bagaimanapun, pengambilalihan saga United yang berlarutan telah menyukarkan urusan Ten Hag dalam perpindahan musim panas ini.

Menurut laporan The Sun, Ten Hag kecewa dengan keengganan Glazers untuk meluluskan sebarang perbelanjaan besar selagi status pemilikan kelab belum diselesaikan.

“Sheikh Jassim bin Hamad al-Thani dari Qatar telah diwar-warkan sebagai pendahulu untuk pengambilalihan The Red Devils, meski pun perjanjian tersebut masih belum dimuktamadkan.

Declan Rice. Foto BBC.

“Walaupun perjanjian itu selesai dalam beberapa hari akan datang seperti yang diramalkan oleh sesetengah pihak termasuk bekas bintang United iaitu Rio Ferdinand, pemilik baharu masih perlu melengkapkan Ujian Pemilik dan Lembaga Pengarah Liga Perdana.

“Akibatnya, urusan Ten Hag dalam pasaran perpindahan pemain tergendala sehinggalah urus tadbir kelab di semua peringkat terbabit diselesaikan. Buat masa ini, Arsenal telah mendahului United kerana kelab itu berkemungkinan besar berhasrat untuk menandatangani Rice dalam jendela perpindahan kali ini,” kata Buletin Manchester United.

Ketika ini, Manchester City dan Chelsea juga berminat untuk mendapatkan pemain antarabangsa England itu, dengan empat kelab yang berminat menandatangani Rice mempunyai cara unik tersendiri untuk mendapatkannya. – Agensi