Treler yang membawa kontena pecah tayar dan terbabas menyebabkan pemandunya cedera di kaki dalam kejadian di Pelabuhan Barat berhampiran Gravit8, Klang petang tadi. Ihsan IPD Klang Selatan

KUALA LUMPUR – Sebuah treler yang membawa kontena hilang kawalan dan terbabas selepas  tayar kenderaan berat itu pecah dalam kejadian di Pelabuhan Klang, Selangor hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian berlaku hari ini pada jam lebih kurang 4 petang ketika treler berkenaan dari Pelabuhan Barat menuju ke Gravit8.

Tambah beliau, kepala treler berkenaan remuk teruk akibat impak terbabas.

Mangsa pemandu treler selamat, sekadar mengalami kecederaan pada kakinya dan telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk rawatan lanjut.

Nahas tersebut tidak menyebabkan sebarang kesasakan jalan raya.

Kes disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette