Shaiful Hazizy logo PM Sanusi KXP busuk
Shaiful Hazizy Zainol Abidin

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sepatutnya bersikap bijak menjaga hubungan dengan kerajaan Pusat agar projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dapat berjalan lancar seperti yang dirancang.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin khuatir tentang hubungan dua hala antara kerajaan negeri Kedah dan kerajaan Pusat pada ketika ini yang dilihat kurang baik.

Beliau mendakwa, situasi itu berlaku akibat kelakuan dan tindak tanduk Muhammad Sanusi berbanding pimpinan negeri-negeri lain yang ditadbir Perikatan Nasional (PN) yang dilihat dalam keadaan baik meskipun berbeza ideologi politik.

“Untuk makluman, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah pun mengadakan sebanyak beberapa kali pertemuan rasmi dengan Menteri Besar Terengganu dan Menteri Besar Kelantan membincangkan agenda pembangunan di kedua-dua negeri tersebut.

“Sejumlah peruntukan besar telah pun diluluskan namun ada banyak perkara yang tidak kena dengan Kedah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shaiful Hazizy menjunjung kasih titah Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah kelmarin bahawa baginda mahu projek KXP diberi layanan dan pertimbangan sewajarnya.

Beliau turut bertanya punca di sebalik sikap Anwar yang dilihat terlalu dingin untuk berunding dengan Muhammad Sanusi.

Shaiful Hazizy yakin segala-galanya boleh dijawab oleh Muhammad Sanusi sendiri yang telah menghalalkan politik sebagai pentas untuk melafazkan cerca nista dan pelbagai tohmahan terhadap Anwar.

“Difahamkan, usaha membangunkan KXP masih memerlukan beberapa ketetapan teknikal tertentu bagi dipenuhi oleh kerajaan negeri untuk diluluskan kerajaan Pusat.

“Oleh itu, kami menggesa Menteri Besar Kedah agar menggunakan pendekatan lebih berdiplomasi untuk mengatur pertemuan membincangkan agenda pembangunan agar dapat direalisasikan secara harmoni,” jelasnya.

Beliau berharap Muhammad Sanusi tidak menggunakan pentas ceramah dan maki hamun sebagai medan melonjakkan populariti.

“Menteri Besar perlu sedar, di balik kedudukannya sebagai Pengarah Pilihan Raya sebuah parti yang tersohor, beliau juga punya tanggungjawab kepada rakyat negeri yang sangat dambakan perkhidmatan dan pembangunan pada tahap yang maksimum,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Habis tu, kerana Sanusi sorg, rakyat kedah tak layak eh dpt pembangunan? Tp masa mengundi, korang nak pulak undi rakyat kedah? Korang mmg IQ rendah, tp jgn ingat kami IQ mcm korang tau.

Comments are closed.