SINGAPURA – Sebuah pesawat Scoot Airline yang dalam penerbangan dari Korea Selatan ke Singapura didapati kehilangan tayar gear pendaratan selepas ia mendarat di Taipei.
Scoot berkata, penerbangan TR897 mengesan kerosakan teknikal semasa mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan.
“Penerbangan yang pada asalnya dijadualkan berlepas dari Taipei ke Singapura pada 1.30 pagi itu kemudiannya dibatalkan,” tambahnya.
Menurut Focus Taiwan, lebih 300 penumpang berada di dalam pesawat itu.
Media Taiwan melaporkan, tayar gear pendaratan kiri sudah terjatuh semasa pesawat mendarat pada 12.06 pagi, selepas sensor mengesan tekanan tayar yang tidak normal sebelum pesawat itu turun.
“Apabila pesawat mendarat, tayar kiri dan rim logam pada tayar gear pendaratan telah tiada, hanya tinggal tayar kanan untuk memastikan pesawat itu tegak dan bergerak,” lapor Taiwan News.
Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan pula memaklumkan tiada penemuan tayar gear pendaratan di landasan atau laluan teksi.
Tayar gear pendaratan membantu pesawat dalam kawalan arah semasa berlepas dan mendarat, dan “untuk membenarkan pesawat bergerak semasa di atas tanah”, menurut portal keselamatan penerbangan SKYbrary.
Menteri Pengangkutan dan Komunikasi Taiwan, Wang Kwo-tsai memberitahu media insiden itu akan disiasat oleh Pentadbiran Aeronautik Awam dan pihak berkuasa yang berkaitan.
Pesawat TR897D berlepas dari Taipei ke Singapura pada hari Isnin jam 8.45 malam dan selamat mendarat di Changi pada jam 1.35 pagi Selasa. – Agensi