Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis sedang giat memburu dua suspek  warga asing yang menyamun seorang penghantar makanan di Banting Kuala Langat semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata,  pihaknya telah menemui satu hantaran satu laman Facebook “jenjarom community” yang memaparkan gambar laporan polis mengenai satu insiden samun bersenjatakan parang ke atas seorang remaja lelaki.

Katanya, siasatan polis terhadap gambar tular itu mendapati dua orang suspek lelaki warga Indonesia bersenjatakan parang menyamun mangsa, 25, seorang penghantar makanan e-hailing.

“Polis  megesahkan kejadian ini dan menerima laporan mengenainya. Kejadian ini berlaku pada 18 Jun yang lalu jam lebih kurang 1.36 pagi.

“Dalam kejadian tersebut, mangsa telah disamun oleh kedua-dua suspek menggunakan parang di tepi jalan utama dan menyebabkan mangsa mengalami kerugian lebih kurang RM2,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, siasatan telah dimulakan dan kini giat mengesan dan menangkap suspek yang terlibat dalam kejadian jenayah itu.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merompak secara berkumpulan dengan menggunakan senjata yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika disabit kesalahan. – MalaysiaGazette