Kru nelayan dari Indonesia yang ditahan kerana mencerobohi Pulau Kendi semalam.

GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot nelayan asing selepas dikesan menceroboh perairan negara bagi aktiviti menangkap ikan di kedudukan 45 batu nautika barat daya Pulau Kendi di sini, semalam.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, bot dari Indonesia itu dikesan jam 12 tengah hari selain didapati tidak mempunyai nombor pendaftaran.

“Kru-kru warga Indonesia berusia antara 20 hingga 40 tahun itu turut ditahan di atas bot selepas dipercayai menangkap ikan di perairan negara.

“Pemeriksaan mendapati kru dan tekong itu juga tiada dokumen pengenalan diri dan pas perjalanan untuk memasuki Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, APMM turut merampas 20 kilogram (kg) ikan bercampur yang sempat ditangkap nelayan terbabit dan dibawa ke Limbungan Batu Maung di sini bagi pemeriksaan lanjut.

Dalam perkembangan berbeza, Abd Razak berkata, pihaknya turut menahan sebuah bot tempatan kelas C di 26 batu nautika barat daya Pulau Kendi sejam kemudian selepas didapati menggajikan pekerja warga asing untuk menangkap ikan.

“Empat kru termasuk tekong warga Myanmar berusia 36 hingga 56 tahun ditahan selepas didapati gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.

“Turut disita kira-kira 200 kg hasil tangkapan bernilai RM600 untuj siasatan lanjut,” katanya.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63. – MalaysiaGazette