Logo Meta

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat pengendali Facebook, Meta.

Suruhanjaya itu berkata, Meta tidak memberikan kerjasama secukupnya dalam menangani kandungan memudaratkan di platform berkenaan.

Menurutnya, maklum balas daripada Meta lembap dan kurang memuaskan serta tidak setimpal dengan keseriusan perkongsian kandungan yang telah mengundang kebimbangan dan penelitian awam.

“Platform Facebook sejak akhir-akhir ini telah dibelenggu dengan jumlah kandungan memudaratkan yang signifikan membabitkan elemen kaum, institusi diraja, agama, penyamaran, judi dalam talian serta iklan-iklan penipuan.

“Lantaran itu, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menghubungi pihak Meta, syarikat induk Facebook untuk menurunkan kandungan yang dimaksudkan daripada platformnya.

“Namun, di sebalik permohonan berulang kali daripada pihak MCMC, Meta gagal mengambil tindakan secukupnya dalam menangani isu berkaitan kandungan memudaratkan pada platform mereka dan tidak bekerjasama sepenuhnya dalam menurunkan kandungan tersebut,” kata MCMC dalam kenyataan.

Katanya, langkah definitif atau tindakan perundangan terhadap Meta sebagai cara untuk memastikan pengguna dilindungi sekali gus mempunyai persekitaran selamat dalam alam digital.

Tambahnya, tindakan berkenaan adalah perlu dalam menyemaikan kebertanggungjawaban untuk keselamatan siber.

Selain memperkasakan perlindungan pengguna terhadap kandungan memudaratkan termasuk juga aktiviti penipuan.

“MCMC tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan menyalahguna platform dalam talian dan telekomunikasi, rangkaian atau kemudahan dalam talian secara berterusan.

“Untuk aktiviti siber berniat jahat, phishing, ataupun sebarang kandungan yang menganggu-gugat kestabilan kaum, keharmonian sosial serta penghinaan terhadap institusi diraja,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast