SEREMBAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kesal dengan perbuatan pembangkang yang berterusan memfitnah kerajaan dalam isu perjanjian yang dimeterainya bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo, baru-baru ini.
Beliau berkata, perkara tersebut yang turut merangkumi pertindihan tuntutan sempadan di blok Ambalat telah dijelaskan dalam sidang Dewan Rakyat pada 12 Jun lalu dan Ahli-ahli Parlimen pembangkang turut mendengarnya.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu memberitahu, beliau telah menjawab soalan berkaitan isu tersebut sambil menyatakan bahawa blok Ambalat tidak termasuk dalam perjanjian yang dicapai bersama Jokowi.
“Di Parlimen tanya dengan baik dan kita jawab dia diam. Di luar fitnah apa dia kata kita jual maruah diri, kita tak bertanggungjawab, kita khianat kepada negara.
“Nasib baik saya Perdana Menteri, kalau saya bukan, saya lesing,” katanya ketika berucap melancarkan program Sentuhan Kasih Desa di Dataran Nilai sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Anwar turut menempelak sikap pembangkang yang kononnya memperjuangkan Islam tetapi masih memfitnah kerajaan dalam isu pertikaian sempadan blok Ambalat dan beberapa kawasan maritim di Sabah termasuk Pulau Sebatik.
Beliau memberitahu, pemimpin-pemimpin pembangkang gagal memberi maklumat lanjut apabila ditanya tentang ‘pakar’ yang menjadi rujukan mereka.
“Ini contoh bagaimana fakta itu ditipu oleh orang yang menggelar diri mereka ustaz, sebab itu kita rujuk kepada fakta.
“Nak pakai orang politik ini, dengar boleh, kalau nak tahu betul tak betul check fakta,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar menyatakan, Malaysia mengambil pendekatan menyelesaikan isu pertindihan tuntutan sempadan wilayah maritim dengan Indonesia melalui rundingan.
“Indonesia jiran kita, saya tak mahu bermusuh dengan Indonesia, jiran saling bergantungan. Malah, saya mahu tingkatkan persahabatan Malaysia dan Indonesia,” katanya.
Sementara itu, beliau berharap rakyat di Negeri Sembilan terus memberi sokongan kepada PH dan Barisan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
“Ini gabungan baharu, kena ambil masa sikit. Geram lama ada lagi. Tak boleh kalau macam tu,” jelasnya.
Anwar berharap PH dan BN dapat berunding secara baik terutamanya dalam soal pembahagian kerusi dan menghormati keputusan yang dibuat. – MalaysiaGazette
















ANWAR menyalak 30000 tidak ambil SPM….menteri pendidilan kata lebih kurang 14-15 ribu….MANA yang FAKTA dan mana yang AUTA MUNAFIK ??????