Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

NILAI – Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas sikap segelintir ahli Parlimen pembangkang yang berfikiran sempit apabila mencadangkan supaya beliau hanya duduk di pejabat melakukan urusan berkaitan negara daripada mengadakan program bertemu mahasiswa di universiti.

Menyifatkan ia sebagai satu cadangan pemikiran era 40-an, Perdana Menteri berkata, beliau harus keluar dan bertemu dengan warga universiti terutama mahasiswa bagi mendengar permasalahan yang dihadapi.

Katanya, mana mungkin tidak ada masalah dihadapi di universiti dan disebabkan itu pertemuan perlu diadakan agar tindakan dapat diambil segera.

“Ada ahli-ahli Parlimen pembangkang mengatakan saya tidak harus meneruskan acara seperti ini sebaliknya, harus bekerja di pejabat sahaja.

“Dia mewakili pemikiran 40an. Sepatutnya ruang ini ruang yang baik. Mana saya tahu masalah di universiti melainkan daripada dengar mereka (mengadakan program).

“Ada universiti mengatakan tak cukup bas, ada yang katakan elaun tak cukup, ada yang mengatakan fasiliti gym tak ada …saya tidak fikir tidak ada masalah,” katanya pada Program Temu Anwar di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh berkata, Anwar tidak sepatutnya memberi keutamaan kepada program bertemu mahasiswa universiti ketika ini.

Sebaliknya, beliau berkata, Anwar harus memberi tumpuan sepenuhnya terhadap keadaan ekonomi negara kerana pengundi muda juga turut merasai kesusahan yang dilalui oleh keluarga mereka.

Malah, Che Mohamad berpandangan, program bertemu mahasiswa boleh dilihat orang ramai sebagai kempen politik secara terbuka di universiti, yang diadakan bertujuan untuk mempengaruhi undi anak muda menjelang pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Menurut Anwar lagi, beliau perlu berdepan dengan anak muda untuk mendengar pandangan dan teguran daripada mereka kerana mungkin ada yang hendak diluahkan tidak dketahui lagi atau perlu diperbaiki.

Ujarnya, sebagai seorang perdana menteri tidak semua perkara beliau ketahui begitu juga kerajaan yang memerlukan maklum balas daripada setiap lapisan masyarakat.

“Tidak ada jawapan dalam semua perkara, tidak harus ada sifat bongkak dan takabur sehingga tidak ada kekurangan dan kelemahan.

“Jadi, kalau yang kita mungkin tidak tahu, kita cuba perbaiki sedaya yang upaya. Tanggungjawab saya pula adalah bagi kerangka besar, anak muda harus tahu kedudukan mereka, hak mereka tanggungjawab mereka menimba ilmu, cemerlang,” katanya.

Temu Anwar adalah program dialog anak muda bersiri yang dilaksanakan sejak 2009, bagi memberi ruang kepada setiap lapisan masyarakat terutama anak muda mengutarakan persoalan secara langsung kepada pemimpin itu.

Sejak dilantik Perdana Menteri pada November lepas, Temu Anwar telah diadakan di beberapa negeri seperti Sabah, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Kelantan. – MalaysiaGazette

PM patut tumpu pulih ekonomi, bukan bertemu mahasiswa – Zulkifly