mahasiswa
Che Mohamad Zulkifly Jusoh

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sepatutnya memberi keutamaan kepada program bertemu mahasiswa universiti ketika ini.

Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh berkata, Anwar yang juga Menteri Kewangan sepatutnya memberi tumpuan sepenuhnya terhadap keadaan ekonomi negara.

Menurut beliau, program bertemu mahasiswa boleh dilihat orang ramai sebagai kempen politik secara terbuka di universiti, yang diadakan bertujuan untuk mempengaruhi undi anak muda menjelang pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

“Pengundi muda turut merasai kesusahan yang dilalui oleh keluarga mereka.

“Mereka boleh menilai sendiri kredibiliti dan prestasi kerajaan hari ini menyelesaikan masalah ekonomi negara, tanpa perlu kepada pertemuan demi pertemuan yang diatur bersama Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Che Mohamad Zulkifly memberitahu, rakyat masih tidak yakin bagaimana Kerajaan Madani dapat menyantuni isu-isu kesusahan hidup dan keluh-kesah rakyat.

Beliau menambah, apa yang lebih menyebabkan rakyat tertekan, kerajaan seolah-olah tidak menunjukkan empati kepada rakyat yang kemampuan kewangannya semakin menyusut disebabkan oleh nilai ringgit yang jatuh, kadar inflasi dan isu gaji yang tidak berubah.

“Ahli Parlimen di pihak pembangkang juga masih dinafikan hak mereka untuk mendapat peruntukan yang boleh digunakan untuk membantu meringankan beban rakyat di kawasan masing-masing,” jelasnya.

Che Mohamad Zulkifly juga berpandangan, Anwar tidak seharusnya campur tangan dalam isu penganjuran konsert di sebuah universiti awam di Terengganu, baru-baru ini.

Menurut beliau, isu tersebut sepatutnya boleh diambil perhatian dan diselesaikan di antara pihak-pihak yang berkaitan.

“Terengganu misalnya, sudah lama mengeluarkan Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu yang boleh dijadikan rujukan untuk pihak pengurusan universiti.

“Ia tidak memerlukan kepada mana-mana strategi dan formula yang baharu,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.