Artikel ini ditulis pembaca MalaysiaGazette
BAYARAN elaun pelajar praktikal merupakan isu yang sering dibawa oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sehingga ke hari ini. Syed Saddiq menggesa kerajaan untuk memperkenalkan undang-undang baharu bagi memastikan setiap majikan wajib membayar pelajar praktikal dan mereka yang menjalani latihan industri di sesebuah firma.
Gesaan Syed Saddiq itu tiada yang salah namun Syed Saddiq perlu memahami konteks dan tujuan sebenar latihan praktikal di Malaysia terlebih dahulu. Syed Saddiq perlu faham sebab pelajar praktikal tidak diberikan elaun selama beberapa bulan mereka menjalani program berkenaan di sesebuah syarikat, tak kira sama ada kerajaan atau swasta.
Pelaksaan program latihan industri adalah bagi memberikan pengalaman dunia kerja yang praktikal dan relevan kepada para pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) sebagai sebahagian daripada subjek pendidikan mereka. Pemberian elaun pula adalah tidak wajib di bawah Akta Kerja 1955. Undang-undang ini menyatakan bahawa para pekerja yang menjalani latihan praktikal di bawah pengawasan sesebuah lembaga pendidikan atau latihan tertentu, dikecualikan daripada undang-undang berkenaan.
Hal ini bermakna majikan tidak wajib untuk membayar elaun atau upah kepada pelajar praktikal. Meskipun tidak diberi elaun sepanjang tempoh latihan industri, namun program ini perlu dilihat dalam konteks lebih besar. Latihan industri dianggap sebagai program pendidikan yang bertujuan menyediakan pengalaman pekerjaan dan pembelajaran secara praktikal kepada pelajar. Walaupun tiada sebarang elaun, para pelajar memiliki peluang untuk mendalami dunia pekerjaan dan memperoleh pengalaman berharga.
Para pelajar boleh menggunakan faktor tiada pembayaran elaun ini sebagai motivasi untuk mempertajamkan lagi kemahiran mereka dan menambah pengalaman bagi meningkatkan nilai kebolehpasaran mereka. Sesebuah syarikat boleh memberikan ruang untuk pelajar praktikal menghadiri pelbagai kursus atau bengkel meningkatkan kemahiran kendiri, sekali gus membantu mereka mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu baharu sebelum memasuki alam pekerjaan sebenar.
Selain itu, sesebuah syarikat turut boleh memberikan sijil penghargaan kepada para pelajar praktikal sebagai tanda sumbangan kepada firma berkenaan. Sijil tersebut lebih berharga daripada pemberian elaun serta boleh digunakan sebagai portfolio untuk memohon sesuatu pekerjaan kelak.
Para pelajar praktikal perlu memahami signifikan latihan industri kepada diri mereka. Melalui latihan industri, mereka dapat membentuk jaringan hubungan atau ‘networking’ yang kukuh dalam bidang tertentu. Menerusi latihan industri, pelajar praktikal dalam menjalinkan hubungan dengan individu yang lebih berpengalaman, sekali gus memperlus jaringan profesional mereka.
Jaringan profesional yang kukuh akan memberikan manfaat jangka panjang apabila mereka mencari pekerjaan dan membina karier pada masa hadapan. Meskipun tanpa pembayaran elaun, pelajar praktikal sebenarnya mendapat manfaat yang lebih besar berbanding wang.
Tuntasnya, pembayaran elaun tidak sepatutnya menjadi tujuan utama para pelajar IPT ketika menjalani latihan praktikal. Banyak alternatif lain boleh disediakan oleh firma-firma tertentu selain daripada memberikan elaun.
Insentif pengangkutan, insentif makanan dan insentif peralatan seperti komputer riba adalah lebih relevan untuk menyokong pembelajaran mereka di sesebuah syarikat. Syed Saddiq tidak boleh mendesak majikan untuk membayar elaun kepada pelajar praktikal.
Sebaliknya Syed Saddiq perlu mendesak IPT untuk menyediakan insentif wang kepada para pelajar sepanjang mereka menjalani latihan industri. Para pelajar masih berada di bawah tanggungjawab IPT dan bukannya majikan sesebuah syarikat. Syed Saddiq perlu melihat dalam konteks lebih besar sebelum memperjuangkan sesuatu isu.
Nota Pengarang: Penulisan yang dikongsi oleh penulis tidak menggambarkan pendirian atau pandangan MalaysiaGazette