LONDON – Pemain bek, Achraf Hakimi dilaporkan sedang mencari angin baharu dan mahu berhijrah daripada Paris Saint-Germain (PSG).
Beliau mahu menjadikan Manchester City sebagai destinasi baharu.
Ejennya, Alejandro Camano berkata, bintang Maghribi itu gembira berada di PSG namun mengakui terdapat beberapa pasukan lain yang berminat mendapat khidmatnya.
“Dia masih ada baki kontrak tiga tahun dan kami mahu dia kekal tenang. Namun saya tidak tahu apa yang akan jadi dan akan duduk berbincang dengan PSG serta menilai semula situasi mengenai apa yang kelab ini boleh lakukan kerana belum ada pengurus baharu dilantik.
“PSG adalah salah satu kelab terbaik di dunia dan sekarang kami menanti kestabilan dalam pasukan apabila PSG sudah ada jurulatih,” katanya kepada Daily Mail.
Hakimi menyertai PSG dari Inter Milan dua tahun lalu dan memiliki baki kontrak sehingga 2026.
Pemain berusia 24 tahun itu dilaporkan dia turut dikaitkan bakal kembali ke kelab lamanya Real Madrid.
Sementara itu, City kini sedang mengintai peluang untuk cari pengganti Kyle Walker yang mungkin akan menyertai Bayern Munich, namun ketika ini Hakimi masih menilai tawaran berkenaan sebelum membuat keputusan.
Berita keinginan bintang PSG untuk mencari kelab baharu dikatakan berkait rapat dengan kegagalan gergasi Perancis itu melantik jurulatih yang tepat hingga menyaksikan bintang utamanya, Kylian Mbappe turut menyatakan hasratnya tidak menyambung kontrak. – Agensi
–