SEPANG – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membidas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang mahu bergerak solo pada pilihan raya negeri (PRN) nanti.
Menurutnya, langkah MUDA itu sia-sia sekiranya hanya memenangi beberapa kerusi yang tidak memungkinkan untuk membentuk kerajaan di mana-mana negeri yang ditandinginya.
“Jika MUDA bergerak solo, dan memasuki PRN dengan hanya memenangi beberapa kerusi, apa yang boleh dibuat dengan hanya beberapa kerusi.
“Kamu kena jadi kerajaan (negeri) dan niat kita adalah untuk jadi kerajaan. Kita akan letak calon yang mencukupi jika menang, kita boleh jadi kerajaan (negeri),” katanya dalam sidang media khas di Hotel Sama-sama, hari ini.
Mahathir berkata demikian mengulas pertanyaan media tentang langkah MUDA yang diterajui Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengambil pendirian untuk bergerak solo di PRN enam negeri, akan datang.
Pengumuman itu menyaksikan akan berlaku pertembungan tiga penjuru antara MUDA, Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Dalam sidang media sama, Mahathir turut menempelak cadangan UMNO untuk menubuhkan Kongres Ekonomi Melayu yang disifatkan sudah terlambat.
“Sekarang baru mereka teringat hendak buat kongres, selama ini mereka hanya teringat hendak buat duit
“Banyak yang curi duit, mereka guna duit nak dapat sokongan, sebab itu mereka dalam pilihan raya perlukan duit banyak,” jelasnya lagi.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya akan menganjurkan satu kongres Orang Melayu yang lebih bermakna daripada Proklamasi Orang Melayu pimpinan Mahathir.
Jelas Ahmad Zahid, kongres yang akan digerakkan sayap Pemuda dan Puteri UMNO itu akan mengetengahkan idea-idea baharu bagi mempertingkatkan ekonomi dan menangani kesaksamaan dikalangan rakyat di negara ini. – MalaysiaGazette