Tukang paip dari Bentong Pahang yang ditemui dalam keadaan tidak sedar diri di dalam bilik sewa tidak berkunci rumah kedai di Ampag Jaya pagi tadi.Ihsan Bomba Selangor

AMPANG – Seorang lelaki yang kecewa selepas panggilannya tidak dijawab sejak petang Rabu akhirnya terkejut selepas mendapati rakannya yang merupakan seorang tukang paip itu ditemui dalam keadaan terkujur di dalam bilik sewanya.

Kejadian itu berlaku di sebuah bangunan rumah kedai dua tingkat di Taman Muda Pandan Indah di sini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Hospital Ampang memaklumkan terdapat seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam bilik tersebut.

Katanya, bertindak atas panggilan kecemasan itu, anggota rondaan MPV telah diarahkan ke lokasi bersama pasukan dari Balai Bomba Dan Penyelamat Pandan Indah Dan pasukan perubatan dari Hospital Ampang.

“Saksi yang rasa tidak sedap hati dan mengesyaki sesuatu telah bergegas ke bilik sewa rakan sekerjanya itu pada jam lebih kurang 8.30 pagi Khamis sebelum mendapati pintu bilik mangsa berkunci dan telah minta bantuan dari pihak Bomba untuk memecahkan pintu bilik si mati.

“Pihak Bomba telah pecahkan pintu bilik tersebut dan mendapati si mati telah terbaring dan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, siasatan lanjut polis mendedahkan identiti si mati merupakan lelaki warga tempatan berusia 39 tahun berasal dari Bentong, Pahang serta disyaki bekerja sebagai tukang paip di daerah Ampang Jaya.

Katanya, sekitar jam 8.55 pagi tadi pihak Hospital Ampang telah mengesahkan lelaki itu meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemeriksaan terhadap tubuh badan lelaki yang mati itu mendapati tiada sebarang unsur-unsur jenayah.

“Pihak Polis telah menghantar si mati ke Hospital Ampang untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian dan tindakan lanjut.

“Ketika ini, siasatan kes telah diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR) sementara menunggu laporan bedah siasat dijalankan,” tegasnya.- MalaysiaGazette