Mason Mount. Foto BBC.

LONDON – Pemain serba boleh, Mason Mount dilaporkan telah diberikan kebenaran untuk menjalani beberapa siri ujian perubatan dan memuktamadkan perjanjian peribadi dengan Manchester United.

Pakar perpindahan bola sepak dunia, Fabrizio Romano berkata, United telah mencapai persetujuan dengan Chelsea untuk perpindahan Mount dengan harga perpindahan £60 juta iaitu £55 juta (RM324 juta) dan £5 juta (RM29.4 juta) sebagai bonus tambahan.

Pemain berusia 24 tahun itu akan menjalani pemeriksaan perubatan hujung minggu ini dan akan diperkenalkan secara rasmi sebagai pemain baharu United pada minggu depan.

Mount akan mengikat kontrak jangka panjang selama lima tahun sehingga Jun 2028 dengan pilihan tambahan untuk tahun berikutnya.

Dia  yang akan tamat kontrak bersama Chelsea tahun depan dilaporkan akan menerima gaji mencapai £200,000 seminggu.

Mount yang lahir dari akademi di Chelsea menjaringkan 27 gol dan 22 umpanan gol dalam 129 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) buat The Blues.

Memenangi Liga Juara-Juara bersama Chelsea pada 2021, dia meraih 36 cap bersama England dan beraksi dalam kesebelasan utama ketika kalah pada final Euro 2020 di tangan Itali.

Pemain tengah menyerang itu hanya menyumbat tiga gol dalam EPL musim lalu ketika prestasinya merudum selain bergelut dengan kecederaan.

Chelsea di bawah kendalian pengurus baharu Mauricio Pochettino ketika sudah menjual penjaga gol Edouard Mendy dan pertahanan Kalidou Koulibaly ke Liga Pro Saudi manakala pemain tengah Mateo Kovacic meninggalkan kelab untuk menyertai juara EPL, Manchester City. – Agensi