Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengadakan pertemuan dengan Ketua Audit Negara yang baharu dan Mesyuarat bersama Bank Negara Malaysia di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya pada 28 Jun 2023. - Foto: AFIQ HAMBALI PMO

KUALA LUMPUR – Industri perbankan diingatkan supaya memainkan peranan penting dalam mendorong pertumbuhan ekonomi pasca pandemik terutama membantu peminjam yang masih terkesan dan menghadapi kesukaran meneruskan kehidupan mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bank-bank disaran meneruskan tawaran bantuan bayaran balik pinjaman kepada individu dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang memerlukan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, peminjam yang bermasalah boleh mendapatkan khidmat nasihat secara percuma dan bantuan bayaran balik pinjaman melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

“Saya berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh institusi perbankan yang bersedia untuk membantu rakyat dan PKS. Industri perbankan perlu terus menyokong pembangunan usahawan mikro terutama golongan rentan.

“Melalui inisiatif i-TEKAD, ia menawarkan modal permulaan dan pembiayaan mikro dengan menggunakan sumber gabungan dana daripada institusi kewangan dan dana kewangan sosial seperti zakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rabu lalu, Perdana Menteri mengadakan sesi dialog bersama-sama wakil sektor perbankan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk mendapatkan buah fikir serta pandangan berkaitan ekonomi negara.

Antara lain perbincangan menyentuh dasar-dasar bagi memastikan industri kewangan di Malaysia kekal relevan dan inklusif dalam menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengadakan pertemuan dengan Ketua Audit Negara yang baharu dan Mesyuarat bersama Bank Negara Malaysia di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya pada 28 Jun 2023. – Foto: AFIQ HAMBALI PMO

Sesi dialog ini dihadiri oleh Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Jessica Chew serta wakil bank seperti AMBank, Al-Rahji Bank, Bank Islam Malaysia, CIMB, HSBC Bank, Maybank, Public Bank, RHB Bank dan Standard Chartered Bank.

Selain itu, wakil industri perbankan yang hadir turut bersetuju bahawa tumpuan kini terarah kepada usaha untuk memacu peralihan ke arah negara karbon sifar bersih serta agenda pendigitalan yang lebih meluas.

Anwar berkata, perbincangan turut menyentuh bidang-bidang pertumbuhan baharu yang boleh memperkukuh saranan nilai Malaysia dalam kalangan pelabur serantau dan global.

“Ketika kerajaan sedang merumus naratif ekonomi Madani, termasuk mengenal pasti sektor keutamaan bagi pertumbuhan dan pelaburan masa hadapan negara, kita juga hendaklah memastikan industri kewangan dan pasaran modal berinovasi selari dengan perubahan landskap global.

“Saya turut menyeru supaya industri kewangan membawa wadah segar dalam mengekalkan Malaysia sebagai peneraju global bagi kewangan Islam serta membina kekuatan sektor E&E,” katanya.

Tambah Perdana Menteri, segala pandangan yang dikongsikan akan digunakan untuk membentuk naratif ekonomi MADANI yang sedang dirangka bagi mencorakkan hala tuju ekonomi negara dalam tempoh jangka masa sederhana dan panjang dan akan dilancarkan Ogos tahun ini.

“Dasar dan keutamaan ekonomi di bawah Kerajaan Perpaduan juga akan dihuraikan dengan lebih lanjut dalam Pelan Induk Perindustrian (Ogos 2023), Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (September 2023) dan Belanjawan 2024 (Oktober 2023),” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berpuas hati dengan pengekalan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada ‘A-’ dengan tinjauan “Stabil” oleh S&P Global Ratings (S&P) baru-baru ini.

“Ini membuktikan hala tuju ekonomi negara berada pada landasan yang betul susulan pelbagai ikhtiar yang diambil bagi menyokong momentum pertumbuhan dan mengurangkan tekanan inflasi,” katanya.

Selasa lalu, S&P menjelaskan rasional pengekalan penarafan didorong oleh kedudukan luaran yang kukuh dan fleksibiliti dasar monetari serta kadar pertumbuhan ekonomi pesat berbanding negara berpendapatan setara lain.

Sementara itu, tinjauan yang stabil mencerminkan jangkaan kekuatan momentum pertumbuhan negara serta kekukuhan kedudukan luaran bagi tempoh dua tahun akan datang.

“S&P juga mengakui wujudnya komitmen politik untuk meneruskan langkah konsolidasi fiskal pasca pandemik.

“Namun saya faham bahawa pengukuhan ekonomi ini mungkin tidak dapat dirasai sepenuhnya oleh rakyat yang masih bergelut dengan kos sara hidup dan juga PKS yang sedang pulih daripada pandemik.

“Oleh itu, kerajaan bertekad untuk mempertingkatkan usaha dalam merancakkan momentum pertumbuhan ekonomi dan melaksanakan konsolidasi fiskal bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perniagaan selaras dengan konsep Malaysia Madani,” katanya lagi. – MalaysiaGazette