Akmal Nasrullah Mohd Nasir

PUTRAJAYA – Jumlah projek perumahan terbengkalai di seluruh negara setakat ini masih kekal 112 kes, kata Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Menurutnya, sesuatu projek terbengkalai itu memerlukan kriteria tertentu dalam Akta 118 (Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan Dan Pelesenan) 1966 serta akan melalui proses yang panjang.

“Projek itu akan dianggap terbengkalai apabila tidak ada kerja di kawasan itu dalam tempoh enam bulan.

“Projek itu akan dikira sebagai terbengkalai bila mana menteri melalui kuasa menteri kena sahkan projek itu terbengkalai dan kita mengambil kira bila sebut tidak ada lagi kerja di tapak dengan mengambil kira pihak pemaju tidak lagi berminat untuk siapkan projek tersebut.

“Bila diisytiharkan terbengkalai barulah kaedah lain boleh diambil kira di mana syarikat asal telah gulung tikar maka proses likuidasi itu akan masuk kemudiannya ada proses lantik pemaju penyelamat ataupun mungkin ada perbincangan dengan pembeli bagaimana nak selesaikan projek tersebut,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas menghadiri program ibadah korban KPKT bersama warga bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Presint 14, hari ini.

Dalam program itu sejumlah lapan ekor lembu dikorban hari ini melibatkan seekor lembu sado yang dianggarkan bernilai kira-kira  RM10,000 untuk  diagihkan kepada kakitangan dan warga asnaf yang dikenalpasti di pusat pentadbiraan kerajaan.

Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M Noor Azman Taib berkata, program korban ini adalah aktiviti tahunan melibatkan 150 kakitangan.

“Keseluruhan jumlah lembu yang  disembelih melibatkan kos  RM47,000 hasil sumbangan kakitangan dan agensi,” katanya.

Turut hadir, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin.

Sebelum ini, Akmal berkata, KPKT telah mengenal pasti 481 projek sakit dan 112 projek terbengkalai di seluruh negara setakat April lalu.

Tambah Akmal, daripada 112 projek terbengkalai tersebut, 105 daripada adalah projek yang bermula sebelum 2015 dan bakinya selepas tahun tersebut.

“Lebih kurang 40 projek terbengkalai itu dalam proses untuk kita selamatkan sama ada berbincang dengan pemaju penyelamat ataupun likuidasi dan sebagainya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette