Datuk S. Murugan dan peguamnya, Datuk Baljit Singh pada sidang media hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan yang mendakwa menjadi mangsa fitnah beberapa individu gara-gara permainan kutu yang menyebabkan kerugian ratusan ribu ringgit.

Mangsa, Datuk S. Murugan mendakwa ‘ibu kutu’ atau mengetuai permainan itu melarikan diri bersama wang para peserta dan beliau pula terpaksa berdepan dengan fitnah serta laporan polis terhadapnya.

“Saya juga mangsa kutu yang diketuai oleh seorang ahli perniagaan lain dikenali sebagai Ponnusamy. Lelaki itu juga ada berhubung dengan saya mendakwa tidak mampu memulangkan duit kami.

“Setelah lelaki itu menghilangkan diri, pemain kutu lain mendesak saya untuk bayar wang mereka atas alasan saya telah perkenalkan individu itu kepada mereka. Dalam isu ini, saya juga mangsa,” katanya kepada media.

Kata Murugan, beberapa individu itu juga telah membuat laporan terhadapnya beliau selain menyebarkan cerita tidak benar tentang beliau dan keluarganya.

“Saya terpaksa membuat laporan polis dan juga mengambil tindakan undang-undang terhadap kumpulan ini. Kumpulan ini juga mendakwa kononnya permainan kutu ini adalah satu pelaburan serta cuba mengaitkan diri saya dengan penipuan,” dakwanya.

Susulan itu, Murugan yang diwakili peguam, Datuk Baljit Singh Sindhu membuat beberapa laporan polis di Balai Polis Sentul dan memfailkan saman sivil terhadap beberapa pihak.

Baljit menasihati orang ramai supaya menjauhi aktiviti kutu yang merugikan dan bakal menjerat semua pihak yang terlibat termasuk peserta juga boleh diambil tindakan undang-undang.

“Dalam kes ini, terdapat antara 30 hingga 40 orang mangsa Kutu Ponnusamy yang kerugian mungkin mencecah RM120,000 seorang,” katanya.

Beliau berkata, polis sedang menyiasat kes tersebut dan menggesa semua pihak  tampil memberi kerjasama dan tidak menyebarkan fitnah atau memutarbelitkan kenyataan.

“Mereka sudah sertai kutu ini sejak 2019 dan masalah timbul sejak enam bulan lalu apabila mereka tidak dapat mencari kepala kutu, mereka menyalahkan anak guam saya,” ujarnya. -MalaysiaGazette