KUALA LUMPUR – Stesen radio milik Media Prima Audio (MPA), Hot FM hari ini diumum stesen radio nombor satu di Malaysia hasil rombakan strategi secara menyeluruh sejak dua tahun lalu.
Kaji selidik Nielsen Consumer and Media View (CMV) pada Januari hingga Disember 2022 menunjukkan Hot FM mencipta sejarah dengan mencatat jumlah pendengar mingguan sebanyak 3.8 juta.
Kajian itu juga merangkumi soal selidik secara bersemuka kepada pendengar termasuk tinjauan dalam talian bersama 10,000 responden terpilih.
Sebagai stesen radio Melayu berpengaruh di MPA dan Malaysia, Hot FM mencatatkan kejayaan besar dengan menerima peningkatan sebanyak 464,000 pendengar atau 14 peratus berbanding tinjauan lalu.
Selain itu, angka menakjubkan itu dapat dilihat menerusi hasil kaji selidik untuk jumlah pendengar bulanan, di mana Hot FM merekodkan 4.8 juta pendengar.
Sementara itu, MPA dalam kenyataan menyebut, Kembara Hot FM bermula dengan kemasukan semula Fara Fauzana dan AG sebagai penyampai utama dalam segmen pagi.
Dua ikon radio ini amat sinonim dengan stesen Hot FM dan pemilihan mereka untuk menerajui Hot FM dianggap langkah baik untuk stesen radio terbabit dan pendengar.
Hot FM sekali lagi menghangatkan ruang udara dengan menjemput Johan untuk berganding bersama Fara dan AG untuk segmen pagi yang penuh dinamik dan unik, Bekpes Hot.
Turut memberi impak positif kepada Hot FM apabila ahli politik dan bekas menteri berpengaruh, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (KJ) ditawarkan menjadi penyampai radio Hot FM secara terbuka di laman sosial Instagram (IG).
Bermula pada Februari lalu, gandingan itu membawa kepada lonjakan 75 peratus yang mengagumkan dalam strim digital secara langsung laman sesawang Hot FM dan aplikasi Audio+, serta peningkatan 139 peratus dalam paparan halaman unik.
Peka dengan kehendak dan keperluan pendengar dan rakyat Malaysia, Hot FM menganjurkan kempen terbesar yang pernah dianjurkan oleh stesen radio di Malaysia, Hot Hulur Wang Sama Pendengar (HWSP) di mana kempen utama ini adalah menawarkan wang tunai berjumlah RM300,000 kepada seorang pendengar bertuah.
Kempen ini adalah satu kejayaan besar kerana menerima lebih 19,000 sepanjang lima minggu kempen berlangsung.
Hot FM HWSP juga mencatatkan capaian mengagumkan sebanyak enam juta di media sosial dan 4.3 juta engagements dalam media sosial sepanjang tempoh berkempen. – MalaysiaGazette