MELAKA – Menara pelancongan Melaka, Menara Taming Sari (MTS) kembali beroperasi hari ini selepas kerosakannya sehingga menyebabkan 36 pengunjung terkandas semalam selesai dibaik pulih.
Ahli Lembaga Pengarah MTS Berhad, Mohd. Noor Helmy Abdul Halem berkata, kerja-kerja teknikal itu selesai sekitar 11 malam tadi.
“Sebaik kerja baik pulih selesai malam tadi,
saya sendiri telah menaiki menara berputar setinggi 110 meter ini memastikan insiden petang semalam tidak berulang.
“Hari ini, operasi menara ikonik ini akan beroperasi seperti biasa setelah sistem teknikal selesai dibaik pulih pada malam tadi,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.
Tambahnya dalam kejadian semalam, operasi penyelamatan awal telah dilakukan petugas teknikal MTS mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dipraktikkan sebelum ini.
“Kita bagaimanapun berterima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) kerana turut memantau kerja menyelamat,” katanya.
Semalam, MalaysiaGazette melaporkan seramai 36 pengunjung menara itu berdepan detik cemas apabila terperangkap selama 30 minit di dalam menara berputar itu pada ketinggian 80 meter.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, kesemua 36 mangsa termasuk lapan kanak-kanak dan seorang orang kurang upaya (OKU) ketika itu sedang bergerak turun dari menara ikonik berkenaan.
Pihak penyelenggaraan MTS bertindak menggunakan motor sokongan untuk menurunkan pelantar ke bawah setelah motor utama mengalami masalah teknikal. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: