Ab Rauf Yusoh

MELAKA – Melaka akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti bagi melarang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertukar parti pada sidang DUN akhir bulan ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, ia perlu selari dengan keputusan di peringkat Dewan Rakyat yang meluluskan RUU itu pada Julai tahun lalu.

“Pada sidang DUN akan datang, kita akan membentangkan RUU Antilompat Parti seperti mana yang telah diputuskan di Parlimen dan pucuk pimpinan parti sebelum ini.

“Jadi Melaka pun kita akan ambil langkah sama untuk RUU itu dibentangkan dalam sidang DUN akan datang,” katanya.

Ab Rauf (dua dari kanan) membuat tinjauan lokasi pelaksanaan inisiatif No Right Turn dan keadaan trafik di Persimpangan Stadium Hang Jebat, Lebuh SPA, Meklaka hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan lokasi pelaksanaan inisiatif No Right Turn dan keadaan trafik di Persimpangan Stadium Hang Jebat, Lebuh SPA di sini hari ini.

Peruntukan Seksyen 6 Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) memberikan ruang kepada Kerajaan Negeri atau DUN untuk melaksanakan peruntukan larangan wakil rakyat bertukar parti melalui pindaan Perlembagaan Negeri, tertakluk persetujuan Raja atau Yang Dipertua Negeri.

Sehingga kini, Selangor, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Negeri Sembilan, Kelantan dan Sarawak sudah menguatkuasakan Enakmen Negeri masing-masing, berkaitan larangan bertukar parti di peringkat DUN.

Sementara itu, Ab Rauf yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berkata, Melaka akan membantu Negeri Sembilan berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka Ogos ini.

“Kita akan bantu kempen mereka mengikut pecahan Parlimen yang telah pun diberikan tanggungjawab oleh Badan Perhubungan Negeri Sembilan sebelum ini.

“Pembahagian tugas melibatkan kawasan sempadan negeri antaranya seperti Rembau, Tampin, Gemenceh Linggi dan Port Dickson,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast