Ramkarpal Singh melahirkan rasa kesal bekerjasama dengan Tun Dr Mahthir Mohamad.

KUALA LUMPUR – Kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai pengwujudan masyarakat berbilang kaum bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berasas daripada segi undang-undang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, sepanjang menjadi Perdana Menteri lebih dua dekad Dr. Mahathir tidak pernah mempertikaikan status Malaysia sebagai sebuah negara berbilang bangsa dan kaum, sebaliknya beliau mengiktiraf perkara berkenaan.

Jelas beliau, Dr M sepatutnya tahu tentang kedudukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan dalam negara kerana sebelum ini mendapat nasihat secara langsung daripada Peguam Negara.

“Tambahan pula, sebagai seorang bekas Perdana Menteri selama lebih dua dekad, sudah tentunya Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mempunyai akses kepada nasihat guaman melalui Peguam Negara dan oleh yang demikian, sedar akan kedudukan undang-undang berkenaan perkara ini.

“Dalam keadaan di atas, adalah jelas bahawa Tun Dr. Mahathir Mohamad semenangnya cakna bahawa kenyataannya tersebut adalah langsung tidak berasas,” katanya menerusi kenyataan.

Ramkarpal berkata, Islam merupakan agama rasmi Persekutuan yang tidak pernah dipertikaikan selaras dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Tambah beliau, undang-undang tersebut turut memperuntukkan agama selain Islam juga boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana.

“Ini bermakna, kewujudan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan membuktikan bahawa Malaysia adalah merupakan sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum, budaya dan agama,” ujarnya.

Tambah beliau, dalam masa sama Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan melarang sebarang diskriminasi terhadap mana-mana warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina.

Selain itu, Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan turut memberikan tiap-tiap orang hak untuk menganuti dan mengamalkan agamanya.

Jelas Ramkarpal, Mahkamah Persekutuan dalam Dhinesh Tanaphll v Lembaga Pencegahan Jenayah & Ors. [2022] 5 CLJ 1 telah menyatakan bahawa Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan berhubung agama merupakan sebahagian daripada struktur asas yang tidak boleh dipinda oleh Parlimen.

“Sebarang pindaan sedemikian yang mempunyai kesan mengubah struktur asas Perlembagaan negara adalah tidak berperlembagaan (unconstitutional),” katanya.

Justeru katanya, semua peruntukan tersebut jelas membuktikan Malaysia merupakan satu negara yang berbilang kaum, budaya dan agama.

Ujar beliau, Dr Mahathir sepatutnya sedar kepentingan frasa ‘unity in diversity should be our strength and not our shame’ di Malaysia seperti mana dinyatakan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali dalam kes Indira Gandhi berkenaan Malaysia sebagai satu negara yang berbilang budaya dan agama sebelum ini. – MalaysiaGazette