NIBONG TEBAL – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berhasrat memperluaskan pembinaan pusat penjagaan berkonsep integrasi antara warga emas dan kanak-kanak di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, projek rintis pembinaan Kompleks Penyayang Sinar Kasih ini, dilihat akan memberikan implikasi baik terhadap kualiti perkhidmatan penjagaan bagi golongan yang memerlukan.
Jelas beliau, kompleks berkenaan berperanan menawarkan ruang selesa kepada kanak-kanak serta warga emas termasuk gelandangan yang diselamatkan dan memerlukan perlindungan.
“Kalau kita lihat konsep di sini lebih moden dan ini yang kita akan jadikan contoh untuk negeri-negeri lain sebab kita sudah mendengar selama ini berkenaan aging society (negara menua).
“Jadi kementerian terutama sekali daripada Jabatan Kebajikan Malaysia melibatkan diri dalam membantu masyarakat yang memerlukan dan ini adalah satu contoh yang amat baik sekali.
“Kalau kita bercakap pasa care ekonomi, ini jugak InsyaAllah akan jadi tempat contoh untuk kita betul-betul mengimplimentasikan apa yang kita maksudkan dengan care ekonomi,”katanya selepas meninjau tapak projek Kompleks Penyayang Sinar Kasih di sini, hari ini.
Kompleks Penyayang Sinar Kasih bernilai RM56 juta ini dijangka beroperasi pada suku ketiga tahun depan.
Ia mampu memuatkan 80 kanak-kanak serta 120 wanita warga emas selain dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk asrama, pusat sukan, surau serta taman rekreasi.
Tambah Nancy, sebuah lagi Kompleks Penyayang Sinar Kasih sedang dalam pembinaan di Johor dan ia merupakan kompleks terbesar membabitkan warga emas bersama kanak-kanak buat masa ini. – MalaysiaGazette