gaji penjawat awam
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan penjawat awam selepas Majlis Amanat Perdana Menteri kepada Penjawat Awam Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban, Negeri Sembilan. Foto AFFAN FAUZI, 07 JULAI 2023.

SEREMBAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbincangan awal mengenai kajian semula gaji penjawat awam akan dilakukan dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan memberitahu, kenaikan gaji penjawat awam kali terakhir dilakukan pada 2013 dan kadar ketika ini dianggap agak rendah.

Anwar menambah, beliau bersetuju dengan cadangan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Dr Zulkapli Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali untuk menubuhkan pasukan bagi mengkaji kajian semua gaji penjawat awam.

“Bagaimanapun, terikat dengan kewangan yang ada tetapi saya fikir dengan sedikit perubahan yang ada, kita boleh cari jalan supaya dapat kita beri pertimbangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan amanat kepada penjawat awam di Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban di sini, hari ini.

Perdana Menteri kemudian menjamu selera di Kedai Nasi Ayam dan Itik Hainan Kak Lina di Ampangan sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Kariah Panchor Jaya di sini.

Berhubung jangkaan tempoh pelaksanaan itu, Anwar menjelaskan, ia bergantung kepada Zulkapli.

Beliau turut menyatakan, masih terlalu awal untuk mengulas tentang kadar peratusan kenaikan gaji yang dicadangkan.

Terdahulu, dalam ucapannya, Anwar meminta penjawat awam memberi kerjasama terhadap langkah yang dilaksanakan Kerajaan Perpaduan untuk menyelamatkan negara.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menasihatkan mereka agar membantu kerajaan menjaga khazanah negara dengan amanah.

“Tak guna kita simpang-siur bagi pidato selamatkan Melayu, selamatkan Islam, tetapi mengizinkan mereka yang menyakau menguruskan negara,” jelasnya.

Menjelang pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini, Anwar berharap, penjawat awam di Negeri Sembilan memberi peluang kepada Kerajaan Perpaduan untuk meneruskan usaha yang dimulakan sejak tujuh bulan lalu.

Dalam pada itu, beliau mengumumkan, pengasas Tesla dan pemilik Twitter, Elon Musk berminat untuk menambah pelaburan di negara ini.

“Minggu depan Elon Musk nak runding dengan saya kemungkinan untuk menambah pelaburan di Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette