KUALA LUMPUR – Suspek yang telah disiasat dalam insiden menunggang motosikal secara lawan arus sehingga mengakibatkan kematian penunggang motosikal Ducati Panegale akan didakwa di mahkamah esok.
Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, suspek seorang warga tempatan yang merupakan peniaga kedai makan di Kajang itu akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang.
“Kita sebelum ini pernah menahan dan mengambil keterangan daripada suspek lelaki berusia 41 tahun itu selepas dia sendiri tampil ke balai dengan membuat laporan polis mengenai insiden tersebut.
“Kemudian, suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis sementara kertas siasatan dilengkapkan dan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.
“Sekarang, polis sudah mendapat arahan untuk menuduh lelaki tersebut di Mahkamah Majistret Ampang pada esok (10 Julai 2023) pukul 8.30 pagi,” katanya selepas dihubungi hari ini.
BACA: Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut jatuh 30 meter di SUKE
Suspek kes penunggang Ducati maut serah diri
Polis selesai rakam keterangan suspek, operator CCTV SUKE, DUKE
Tambah Mohd Azam, pertuduhan ke atas suspek akan dibuat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam kejadian tengah hari pada 16 Jun lalu, suspek sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kajang tersesat jalan membuat keputusan menunggang motosikalnya secara melawan arus di laluan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi – Hulu Kelang (SUKE).
Pada masa sama, penunggang motosikal Ducati Panegale berusia 64 tahun cuba mengelak motosikal suspek sebelum terbabas dan lalu tercampak dari ketinggian 30 meter ke bawah MRR2.
Mangsa kemudian telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. – MalaysiaGazette