Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis selesai mengambil keterangan suspek dan saksi kes seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi yang maut ketika cuba mengelak sebuah motosikal yang melawan arus di Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, buat masa ini kedua-dua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan telah dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer dan Jabatan Kimia untuk dianalisa.

“Manakala sambungan rakaman percakapan telah selesai diambil daripada saksi iaitu operator kamera litar tertutup (CCTV) SUKE da juga LebuhRaya Duta-Ulu Klang (DUKE) untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Suspek kes penunggang Ducati maut serah diri

Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut jatuh 30 meter di SUKE

Hantar rakaman CCTV ke makmal forensik, penunggang cuai masih diburu

Rakaman CCTV penunggang motosikal lawan arus diserah kepada polis

Tambah Mohd Azam, polis juga telah selesai mengambil keterangan daripada suspek yang melawan arus semasa kejadian.

Suspek, katanya, masih lagi dalam keadaan cedera dan sedang menerima rawatan di hospital namun keadaannya kini stabil.

“Kertas siasatan akan dirujuk ke kamar Timbalan Pendakwa Raya Selangor dalam tempoh terdekat setelah siasatan dilengkapkan nanti,” tegasnya.

Pada 16 Jun lalu, suspek kejadian itu yang juga seorang peniaga kedai makan berusia 41 tahun di Kajang telah menyerah diri dengan membuat laporan polis selepas melihat berita mengenai insiden itu.

Dalam siasatan awal, suspek lelaki warga tempatan itu mendakwa dia telah tersesat jalan sebelum membuat keputusan untuk berpatah balik dan melawan harus di SUKE.

Ketika itu motosikal Yamaha yang ditunggangi suspek telah bergesel dengan penunggang Ducati Panigale sehingga terjatuh dan mengalami kecederaan.

Manakala penunggang Ducati pula mati selepas tercampak dari jejambat ketinggian 30 meter dalam kemalangan di Kilometer 22.2, SUKE berhampiran susur Hulu Klang itu. – MalaysiaGazette