Nurillo Tukhtasinov. Foto Facebook TFC.

KUALA LUMPUR – Pemain kebangsaan Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov akan memantap jentera tengah Terengganu FC (TFC) untuk baki saingan Liga Malaysia musim ini.

Pemain tengah berusia 26 tahun itu mengikat kontrak hari ini dengan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner selama 18 bulan bagi mengisi kuota pemain import bebas skuad Penyu itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh menjelaskan, kehadiran bekas pemain kelab Neftchi Fergana dalam Liga Divisyen 1 Uzbekistan itu bagi menambah lagi kekuatan di jentera tengah pasukan yang sebelum ini dilihat longgar.

Katanya, pemain yang pernah dinobatkan sebagai ‘arkitek’ terbaik dalam liga di negaranya itu berpengalaman luas bersama skuad kebangsaan bermula dengan skuad Bawah 19 Tahun (B-19), B-21, B-23 dan skuad senior.

“Pemain kebangsaan Uzbekistan itu (Tukhtasinov) bersetuju untuk menandatangani kontrak bersama TFC selama 18 bulan sehingga akhir tahun depan.

“Pemain yang baharu pertama kali beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) itu bakal mengisi kuota pemain import bebas TFC.

“Kita juga berharap pemain yang bakal menyarung jersi bernombor 97 itu sempena tahun kelahirannya pada 1997 dapat menyesuaikan diri bersama rakan sepasukannya dengan cepat terutama berdepan PDRM FC minggu depan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook TFC hari ini.

Pemain berketinggian 2.72 meter itu dijangka bergandingan dengan pemain kelahiran Bahrain, Habib Haroon. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast