KUALA LUMPUR – Pengerusi Westports Holdings Bhd (Westports Holdings) Tan Sri Gnanalingam Gunanath Lingam meninggal dunia pada usia 78 tahun.

Westports Holdings dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, Gnanalingam ialah pengasas syarikat itu dan merupakan sumber inspirasi.

Gnanalingam dilantik sebagai pengarah syarikat pengendalian kargo marin itu pada 1 Januari 2009 dan sebagai pengerusi eksekutif pada 1 September 2013.

Beliau juga merupakan pengerusi eksekutif Westports Malaysia Sdn Bhd (WMSB), sebuah unit milik penuh Westposts, jawatan yang dipegangnya sejak tahun 2000.

Sebelum itu, mendiang merupakan pengarah urusan WMSB dari 1995 hingga 1999.

Gnanalingam adalah alumni Harvard Business School di Boston, Amerika Syarikat selepas menamatkan Program Pengurusan Lanjutan Sekolah pada tahun 1983. – MalaysiaGazette