Bahagian jejambat bertingkat sepanjang 500 meter yang sedang dalam pembinaan runtuh ke atas jalan di bawahnya pada kira-kira 6 petang waktu tempatan.

BANGKOK- Sekurang-kurangnya dua orang maut, manakala 10 lagi cedera selepas bahagian sebuah jejantas yang sedang dalam pembinaan runtuh di daerah Lat Krabang di Bangkok petang semalam.

Bahagian jejambat bertingkat sepanjang 500 meter yang sedang dalam pembinaan runtuh ke atas jalan di bawahnya pada kira-kira 6 petang waktu tempatan.

Segmen itu, yang merupakan sebahagian daripada projek jalan bertingkat On Nut-Lat Krabang sepanjang 2.2 kilometer.

Kejadian berlaku ketika segmen itu diangkat oleh kren sebelum ia terbalik menyebabkan struktur konkrit dan keluli itu jatuh ke atas kenderaan dan bangunan komersial.

Pegawai pejabat daerah Krabang Chatchaya Kamjan berkata mangsa pertama terbunuh serta-merta apabila segmen itu runtuh.

Mangsa kedua ditemui pasukan mencari dan menyelamat ketika meninjau lokasi berkenaan.

“Mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital berhampiran untuk rawatan,” katanya.

Siasatan awal menunjukkan kren itu mungkin mengalami tekanan berlebihan atau terdapat kerosakan pada alat pengangkat.

Foto dan video yang tular di media sosial menunjukkan segmen yang runtuh dan kenderaan remuk di bawahnya. – BERNAMA